HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

18 Mei 2009

tercemarnya keindahan islam


“Uteh, adik nak jalan-jalan kat hujung sana..”

Adik bongsuku menarik tanganku untuk mengikutnya ke hujung pantai yang kami susuri. Agak kepenatan melayan karenah si cilik ini. Si abang pula sibuk bermain dengan buaian. Aku hanya mengawasi adik lelakiku dari jauh sahaja. Sudah besar dan boleh berfikir tidak seperti adik bongsuku. Kami menyusuri laluan pejalan kaki yang telah disediakan. Adikku riang berjalan, kadang berlarian sambil ketawa. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa kadang membuatkan aku terpaksa menahan bajuku daripada rakusan sang angin yang mungkin sahaja boleh membuatkan pakaian yang menyaluti tubuhku melekat membentuk susuk tubuh.

“Uteh, tengok tu..”

Adik bongsuku menuding ke arah sepasang manusia yang berlawanan jantina sedang duduk di bawah bangku tempat yang kami lewati. Asyik sekali mereka bermadu kasih. Firasatku mereka ini bukannya sepasang suami isteri yang sah di sisi syara’ memandangkan si gadis masih lagi berpakaian sekolah! Ya, berpakaian sekolah. Petang yang indah ini telah dicemari dengan noda-noda dosa yang dipaliti oleh pasangan mungkar ini. Masya-Allah! Kubawa adikku jauh daripada pemandangan yang kurang disenangi itu. Adikku semakin jauh berlarian menuju ke hujung pantai. Aku berjalan pantas agar dapat seiringan dengannya.

Satu lagi pemandangan yang kurang enak aku lihat di hujung pantai. Sebuah kereta ‘rosak’ terpakir elok di hujung pantai. Dari kejauhan aku dapat lihat betapa asyik dan masyuknya sang lelaki mencumbui si gadis. Ternoda sungguh pemandangan petang ini. Aku kalihkan pandanganku daripada penglihatan yang boleh mengundang maksiat di mata dan hatiku. Selemah-lemah orang yang beriman, cukuplah sekadar membuat teguran di dalam hati, fikirku. Kalau aku mempunyai kekuatan, mahu saja aku hampiri mereka dan mengetuk tingkap kereta ‘rosak’ tersebut. Ingin aku teguri mereka, tentang dosa maksiat yang kini sedang mereka lakukan. Ah, aku tidak mempunyai kekuatan seperti itu. Masya-Allah, lemahnya aku sebagai hamba-Mu ini yang tidak mampu menghindari maksiat di depan mata. Tiba-tiba adikku berlarian ke arah kereta tersebut. Pasangan yang asyik masyuk terkejut dengan gangguan yang menghampiri mereka. Melayu, getusku. Kalau dah melayu tentulah Islam. Islam pada nama sahaja mereka ini. Astaghfirullahal’azim. Aku tundukkan pandanganku daripada memandang mereka. Tidak mahu kucemari mataku untuk melihat perbuatan tanpa segan silu mereka itu. Kucapai tangan adikku dan membawa jauh dari kawasan itu. Terbantut niatku untuk mengambil angin pantai pada waktu petang sebegini. Tercemarnya keindahan islam dengan perbuatan insan-insan alpa seperti ini. Ah, mengapa umat kini tidak malu untuk melakukan maksiat.

وَٱلَّـٰتِى يَأۡتِينَ ٱلۡفَـٰحِشَةَ مِن نِّسَآٮِٕڪُمۡ فَٱسۡتَشۡہِدُواْ عَلَيۡهِنَّ أَرۡبَعَةً۬ مِّنڪُمۡ‌ۖ فَإِن شَہِدُواْ فَأَمۡسِكُوهُنَّ فِى ٱلۡبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّٮٰهُنَّ ٱلۡمَوۡتُ أَوۡ يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً۬ (١٥) وَٱلَّذَانِ يَأۡتِيَـٰنِهَا مِنڪُمۡ فَـَٔاذُوهُمَا‌ۖ فَإِن تَابَا وَأَصۡلَحَا فَأَعۡرِضُواْ عَنۡهُمَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ ڪَانَ تَوَّابً۬ا رَّحِيمًا (١٦)
“…dan sesiapa Yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah sehingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu). Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana Sesungguhnya Allah adalah sentiasa menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya…”
(Surah an-nisa’:15-16)

Moga Allah akan memberi hidayah kepada pasangan yang kulihat sebentar tadi. Sesungguhnya hanya DIA-lah yang layak memberi hukuman yang setimpal kepada hamba-hamba-NYA. Aku tidak layak untuk menghukum perbuatan mereka itu. Aku juga bukan hamba yang maksum seperti para anbia’. Selintas aku terkenangkan perbincangan kami semasa majlis usrah semasa aku di kampus dahulu. Mak Cik Min, panggilan kami kepada seorang naqibah senior yang banyak membantu madh’uah sepertiku ini. Pada masa itu, Mak Cik Min menghuraikan tafsiran surah Az-Zalzalah.


يَوۡمَٮِٕذٍ۬ يَصۡدُرُ ٱلنَّاسُ أَشۡتَاتً۬ا لِّيُرَوۡاْ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٦) فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ ۥ (٧) وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا

“…pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!...”
(Surah Az-Zalzalah:6-8).

Gementar hati ini mendengar penerangan daripada Mak Cik Min. Segala amalan wa’ima sekecil zahrah pun akan dihitung. Menangis hati ini mengenangkan kembali apalah yang telah aku lakukan sepanjang hidupku ini. Adakah amalan-amalan aku ini akan diterima oleh-Nya. Berapakah pesanan Rasulullah yang telah aku sampaikan kepada saudara seagamaku? Astaghfirullahal a’zim. Sabda Rasulullah S.A.W :


“..Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat”...


Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1. Sedekah/amal jariahnya
2. Doa anak-anaknya yang soleh.
3. Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada
orang lain.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang menggunakan peluang yang diberi Allah ke jalan kebenaran dan rugilah bagi orang-orang yang mengotorinya dengan perbuatan yang mungkar. Semoga aku dan umat Islam kini termasuk di dalam golongan orang-orang yang beruntung.

13 Mei 2009

duhai remaja harapan bangsa tonggak agama

Hati ini kadang sayu mengenangkan remaja masa kini,

yang kian leka dan kian lalai dalam mencari erti hidup.

Wahai remaja,

usahlah kau penuhi usia mudamu dengan perkara yang akan merugikan masa tuamu,

usah kau tegar lakukan perkara yang akan mengundang musibah kelak di suatu masa,

jangan kau abaikan pesanan orang tuamu yang ingin kau berjaya hingga ke mercu.

Kerana aku jua remaja sepertimu,

mengerti perasaan dan darah muda yang suka meronta dan meneroka.

Perlu kau tahu, dunia ini milik yang Khaliq,

kita hambaNYA harus akur akan perintah dan undang-undang yang tersedia.

Buat adik-adikku,

jangan kau penuhkan duniamu dengan indahnya bercinta sesama manusia,

kerana perlu kau tahu cinta manusia itu takkan kekal ke mana melainkan cinta pada Rabb mu.

Kejarlah cinta kepada Izzah mu,

nescaya cinta manusia kan datang dengan sendirinya.

Tak perlu kau cari,

Insya-Allah ia pasti hadir dengan sendiri,

dengan syarat kau ikuti perintah dan taat setia pada yang ESA.

Duhai remaja,

bangkitlah dari khayalanmu itu.

Kau harapan ayah dan ibu,

harapan bangsamu,

harapan buat negara yang kau kasihi,

juga tonggak buat agama yang kau anuti.

Aku gusar andainya kau leka hingga terlupa bahawa dunia ini hanya sementara,

kelak akhirat itu pasti hadir jua.

Jangan setelah kau terhantuk barulah kau mahu mengadah

kerana tika itu kau ibarat besi yang telah bengkok,

walaupun bisa dilentur namun mana mungkin akan sama dengan yang asal.

12 Mei 2009

mentua vs menantu

MENTUA VS MENANTU
“Mama letihla uteh..”


“Semua anak-anak mama tak nak dengar isi hati mama..”


“Bila anak-anak mama balik boleh naik darah tinggi mama ni..”


Pelbagai ungkapan kata-kata daripada mulut mungil mama kudengar semenjak aku pulang daripada bercuti. Mama mama. Rindu sebenarnya mahu mendengar celoteh seorang ibu ini, sebab itulah aku mengambil keputusan tidak mahu mencari kerja sambilan pada cuti semester ini seperti cuti-cuti yang lalu, ditambah lagi dengan kesibukan pelbagai program yang aku ikuti menyukarkanku sekiranya aku bekerja sambilan. Untuk mengelakkan kebosanan, aku duduk di rumah sambil melayan karenah adik-adikku yang masih kecil juga anak saudaraku yang masih merah di buaian.


Suatu hari, ketika aku baru pulang daripada mengikuti program di luar derah, aku lihat raut letih mamaku. Hmm tentu sekali letih menguruskan rumah sepanjang hari ditambah karenah anak-anak yang semakin nakal seiring usia mereka. Letihnya menjadi seorang ibu. Aku yang baru sahaja menyandang gelaran tidak rasmi itu semenjak bercuti juga turut berasakan betapa penat dan lelahnya. Ya, terlalu penat sebenarnya. Sebab itulah kadang-kadang mama beremosi, mungkin mahu melampiaskan kepenatan dan tekanan yang dilalui mama hari-hari di rumah. Tetapi, aku kagum dengan ketabahan mama mendidik kami, menguruskan kebajikan ayah dan rumah tangga. Sangat teliti. Ah, mama, pengorbananmu itu sukar untukku balas.


“Mama kecil hati uteh..”


Suatu hari mama meluahkan perasaannya padaku sewaktu kami sama-sama duduk beristirahat. Waktu itu, hanya aku dan mama. Adik-adikku keluar mengikut ayah ke bandar.


“ Menantu tak sama dengan anak…”


Ah, itu rupanya yang menyebabkan mama kerunsingan dan bersedih hati. Pastinya hati mama terluka. Aku sebagai anak yang rapat dengan mama cuba berkongsi masalah hati yang melanda wanita kesayanganku ini.


“Mama anggap semua anak dan menantu mama sama, tapi entahlah… Kadang abang kamu tu lebihkan isteri daripada mama..”


Ini punca mama bersedih dan berkecil hati. Mama rasa tersisih daripada kasih sayang seorang anak yang dijaga dan ditatang selama ini setelah anak mama berkeluarga. Rumit untuk aku rungkaikan masalah mama kali ini kerana aku belum pernah mengalaminya. Aku belum berkeluarga. Mungkin sekali perspektifku berbeza dengan mereka yang mengalaminya. Aku masih setia mendengar luahan hati mama. Bagiku kini, menjadi seorang pendengar yang setia kini adalah jalan yang paling terbaik bagi situasiku dengan mama. Walau tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya aku dapat mendengar masalah mama. Jika mama memendam perasaan lagilah akan membahayakan kesihatan mama yang menghidap hypertension.


Mama menyatakan rasa kurang senangnya melihat abangku kini senantiasa melebihkan hal isteri berbanding dengan permintaan mama. Jika mama berkirim sesuatu dengan abang, abang selalu sahaja lupa atau terlewat memenuhi permintaan mama tetapi jika isterinya, sekejapan sahaja permintaan itu ditunaikan. Ah, bagaimana caranya untuk aku jernihkan hubungan mereka ini. Aku khuatir, seandainya abang secara tidak sedar mengguris hati mama dengan cara seperti ini, lama-kelamaan hati mama akan terluka teruk dan jadilah abang di antara ahli-ahli yang tidak dapat mengecap nikmat syurga lantaran melukai hati seorang ibu. Na’uzubillah!


Aku cuba membelai hati mamaku dengan kata-kata manis bagi meredakan kemarahan mamaku. Lantas kuceritakan kisah sahabat Rasulullah S.A.W yang telah menerima azab sewaktu menghadapi sakaratul maut lantaran telah mengecilkan hati si ibu tua dengan melebihkan sedikit sahaja perhatian kepada isterinya daripada ibunya sedangkan beliau seorang yang sangat abid, taat dan merupakan sahabat nabi S.A.W. Mama hanya mendengar sahaja ceritaku, namun kutahu, mama mengerti maksud yang ingin aku sampaikan. Kukatakan lagi bahawa sesungguhnya darjat seorang ibu itu terlalu tinggi sehinggakan seandainya ibu dan ayah memanggil secara serentak, hendaklah dahulukan panggilan ibu dahulu barulah ayah. Perbincanganku bersama mama terhenti di situ setelah ayah dan adik-adikku pulang.
 
Aku tahu hati seorang ibu ini terlalu sensitif. Aku khuatir kerana kelalaian abangku yang sedikit cuma tapi mampu menghindarkan dirinya daripada menjejakkan kaki ke taman-taman yang dijanjikan Khaliq buat yang taat menunaikan perintahnya. Laman sesawang kubuka seusai solatku di tengah malam. Waktu inilah waktu yang paling sesuai untukku mencari dan menelaah beberapa perkara yang kurang kufahami memandangkan waktu siangku agak terganggu dek kenakalan adik-adikku dan tugas sampingan lain yang kulakukan.
 
Aku membaca satu artikel berkenaan luahan seorang suri yang terasa hati dengan mentuanya yang dikatakan terlalu mengambi tahul hal-hal peribadi mereka sedangkan anak lelakinya itu telah berkeluarga. Setiap hari si isteri menjeruk rasa melihat si suami sentiasa melebihkan ibunya berbanding dirinya. Ah, masalah yang sama cuma berlainan situasi. Abangku melebihkan isteri dan membuatkan mama berkecil hati, kisah ini pula si isteri menjeruk rasa memandangkan si suami sentiasa mengikut kata ibu.
 
Kubaca pula pandangan seorang moderator tentang masalah yang dihadapi oleh si isteri ini. Aku cuba aplikasikan dengan permasalahan yang dihadapi oleh mamaku kini. Nah, nyata permasalah yang sama walaupun situasi berbeza tetapi insya-Allah boleh diselesaikan dengan cara yang sama. Aku cuba menggunakan penyelesaian ini untuk merungkaikan masalah hati mamaku ini.
 
Alhamdulillah, kini mama tersenyum dan semakin mesra dengan menantu-menatu mama yang merangkap kakak-kakak iparku sehingga kadang-kadang mama melebihkan mereka berbanding diriku. Mama pun tidak segan silu untuk menegur seandainya kakak iparku melakukan kesilapan serta tidak lokek berkongsi ilmu dengan menantu-menantu mama. Aku tersenyum puas dengan perubahan ini.
 
“Betullah Uteh… Orang kata dekat bau tahi, jauh bau bunga..”
 
Aku tersenyum cuma mendengar ungkapan mama. Hati seorang ibu, terlalu sensitif tetapi jika kena dengan caranya, Insya-Allah hati itu mampu kita jaga. Kini, mama tidak lagi berkecil hati dengan menantu-menantu mama, malah hampir saban minggu abang-abangku akan membawa keluarga mereka bertandang ke rumah mama dan ayah. Makan bersama-sama dan solat jemaah bersama-sama. Alangkah indahnya situasi seperti ini. Syukur, rupa-rupanya langkah yang diambil dahulu telah membuahkan hasil yang amat manis.
 
Untuk mengelak permasalahan hati mama dengan menantunya, aku cuba berdiplomasi dengan abangku bagaimana cara untuk membina sebuah institusi keluarga yang bahagia. Tidak lupa kuselitkan kisah-kisah tauladan yang boleh menjadi pedoman buat abang. 


Mungkin abang juga berfikir demi masa depan sebuah kelurga yang baru sahaja dibina dan juga ukhuwah kekeluargaan kami ini, abang memohon restu mama dan ayah untuk berhijrah daripada rumah mama dan ayah dengan alasan untuk berdikari. Pada mulanya, mama sukar untuk melepaskan abang lantaran khuatir abang semakin melupai mama namun kusisipkan kata-kata perangsang buat mama agar meyakini keputusan yang abang lakukan buat keharmonian keluarga kami bersama. Tak lupa juga kumohon mama mengiringi doa penghijrahan abang agar abang menjadi seorang khalifah yang adil dan saksama bagi memimpin keluarga yang baru dibinanya berlandaskan syariat islami.
 
Kini, setiap kali aku pulang bercuti tiada lagi rungutan dari mama, tiada lagi rintihan hati seorang ibu yang memendam rasa. Yang kudengar hanyalah pujian dan ungkapan rindu kepada anak-anaknya. Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan doa kami sekeluarga. 


Buat pasangan yang mengalami permasalah seperti yang keluargaku alami ini, sebelum berkeluarga penuhilah diri dengan ilmu munakahad terlebih dahulu agar tidak terjadi permasalahan di antara menantu dan keluarga mentua. Jalinkan ukhuwah kekeluargaan berdasarkan syariat islami, insya-Allah ukhuwah yang terjalin pasti diredhai. Seeloknya buat bakal suami atau yang sudah menyandang gelaran ini, ketahuilah apa yang wajar dan tidak wajar untuk dilakukan demi kemashlahatan bersama. Buat isteri juga yang bakal bergelar isteri, jagalah tingkah lakumu, jika suamimu lupa, jadikanlah dirimu sebagai pengingat yang setia, supaya kelak kau kan sama-sama mendapat manfaatnya.