HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

24 September 2009

mendamba hidayah-MU (siri 2)

Zulaikha memandang berkali-kali biasan tubuhnya di hadapan cermin. Mahu tampil sesopan yang mungkin. Baju kurung hijau lembut yang dipakainya dipadankan dengan tudung warna sedondon yang lebih lembut. Hujung tudung dibiar lepas tidak seperti selalu akan dililit atau dilipat ke atas.

‘Biar sikit-sikit asal aku istiqamah’ Zulaikha bicara sendirian. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Zulaikha bingkas keluar daripada bilik tidurnya. Dicapai beberapa nota kuliah sebelum keluar.

“Zu, mari sarapan sayang..”

Puan Aida tersenyum mesra melihat penampilan anaknya pada hari ini. Cantik dan sopan tidak seperti kebiasaan.

“Mimpi apa hari ni sayang pakai cantik-cantik ni?”

“Cantik ke ma? Biasa je zu rasa. Mama ni ada-ada jelah..”

“Ke sebab takut kena saman dengan pak guard lagi ni..”

Encik Adam menyakat anaknya. Zulaikha memuncungkan mulutnya tanda tidak berminat dengan giatan abahnya mengungkit kisahnya disaman pengawal keselamatan. Puan Aida dan Encik Adam tersenyum melihat anak mereka pada pagi ini. Jarang sekali mahu melihat Zulaikha berbaju kurung. Biasanya seluar jeans yang menghiasi tubuh anak mereka. Tetapi pagi ini, tubuh anak mereka kelihatan menawan dengan baju kurung yang menyaluti tubuh Zulaikha. Wajah bersih tanpa olesan warna kosmetik menyerlah kecantikan milik anak mereka.

“Ok lah ma, abah, Zu pergi dulu ye. Dah lewat ni..”

Zulaikha menyalami Encik Adam dan Puan Aida sebelum beredar ke pintu utama rumah milik keluarga Encik Adam. Dicapai kasut yang bertutup di rak kasut. Kaki yang telah siap berstoking warna coklat muda disarung ke kasut. Sorotan mata Puan Aida mengiringi langkah anak kesayangannya itu.

“Dah dewasa anak kita tu bang..”

“Hai baru tahu ke. Kita ni dah makin tua Aida.. Rumah kata pergi kubur kata mari..”

“Ish, ke situ pulak abang ni. Saya tengok si Zulaikha tu dah elok sikit pakaiannya. Sopan sikit. Taklah mata ni sakit tengok. Sebelum anak Kak Zaleha tu balik, kita kena ubah si Zulaikha tu. Taklah terkejut bakal menantu kita tu tengok nanti..”

“Hah itulah awak ni. Nak ubah anak niat tu kena ubah Aida oi.. Biarlah dia berubah kerana hatinya. Bukan kerana bakal suaminya..”

14 September 2009

sengaja kita dipertemukan (siri 9)


SIRI 9


“Kenapa kamu nak mengelak Nur? Akak tahu kamu mampu lakukan. Ingat, tugas kita di dunia ni bukan setakat menuntut ilmu je, tapi juga harus beramal. Akak tahu Nur boleh buat..”

Tangan Nurjiha ligat mencabut anak-anak rumput yang tumbuh di sekitar duduknya. Leka dengan pekerjaan yang sengaja diadakan. Tasik yang damai dipandang sepi. Hatinya bungkam. Sesekali hujung tudungnya terbang ditiup angin.

Sentuhan lembut di bahunya mematikan lamunan. Lantas ligat otaknya mencari jawapan kepada pertanyaan yang dibiar sepi tadi.

“Nur tak layak kak.. Nur tak layak untuk semua ni. Nur bukan baik..”

“Nur.. Semua orang tak sempurna dik. Dari tak kesempurnaan kitalah yang akan buatkan diri kita berusaha untuk jadi sempurna.”

“Tapi kak..”

“Nur, akak bukan nak memaksa dik, tapi akak yakin Nur boleh lakukan. Nur takkan nak biarkan orang yang tak tahu terus terjerumus pada perkara yang tak elok dik? Akak yakin, Nur boleh membimbing yang lain suatu hari nanti.”

“Akak tak faham kak. Nur bukan nak mengelak tapi Nur tak ada kekuatan kak. Nur sendiri masih mencari, masih lemah, macam mana Nur nak bimbing orang lain. Nur sendiri perlukan bimbingan kak..”

Nurjiha bangun. Dikibas pakaiannya yang melekat dengan rerumput kering. Berdiri menghadap tasik. Matanya diredupkan, cuba mencipta kedamaian di hatinya. Membuang segala resah yang menimpa diri. Ah, sukar untuk dirungkai masalah ini.

Perkenalan secara kebetulan membibitkan hubungan persahabatan. Hambatan rasa ingin berhijrah mengukuhkan ukhuwah yang terjalin antara mereka berdua. Rasa indah apabila ukhuwah yang terjalin atas rasa taqwa. Namun kini, galasan yang harus dipikul hampir mematahkan semangat juang Nurjiha.

“Bukan sekarang kak. Nur tak bersedia..”

12 September 2009

mendamba hidayah-MU (siri 1)

SIRI 1

Zulaikha menghempaskan tubuhnya ke sofa. Dia merengus kegeraman. Kusyen empuk di sebelahnya menjadi mangsa melepaskan kegeraman yang bersisa. Jam berdenting enam kali. Jam antik pemberian seorang sahabat abah sewaktu mereka mahu berpindah ke Selangor lima tahun yang lepas.

Zulaikha menanggalkan tudung yang menutupi kepalanya. Kakinya dilunjurkan ke lantai. Mata Zulaikha terpejam erat. Mahu melupakan peristiwa yang membuatkan hatinya sebal sebentar tadi.

Telefon bimbit di dalam begnya dikeluarkan. Sehelai kertas kuning cair terjatuh dari dalam beg. Tertera dengan jelas nama Zulaikha Adam di atas kertas kuning tersebut dengan lambang universiti tempat Zulaikha menuntut. Direnyuk kertas kuning tersebut lalu dilempar ke dinding. Zulaikha puas. Kertas kuning menjadi mangsa melepaskan kegeramannya dengan pengawal kolej yang memberi amaran ke atasnya sebentar tadi. Kesalahan memandu kereta tanpa pas pelajar di kawasan universiti dan juga sahsiah rupa diri yang tidak menepati peraturan.

‘Yang tak pakai tudung tak disaman, yang pakai tudung disaman’, bentak Zulaikha geram.

Mata itu lama-kelamaan terkatup rapat. Zulaikha ketiduran dalam kemarahan yang masih merantai jiwa.

…………………………………..


Zulaikha bergegas menuruni anak tangga. Dia kelewatan hari ini untuk menghadiri kuliah Dr. Sofea. Natijahnya kerana sibuk bersembang dengan sahabat mayanya semalam. Sudahlah hari ini kelasnya diadakan di kampus utama.

“Zulaikha, mari sarapan sekali…”

“No ma, Zu da lewat kelas Dr. Sofea. Pergi dulu ma..”

“Zu, kejap. Zu nak pergi kelas pakai macam ni ke?”

Zulaikha berhenti. Puan Aida menghampiri anaknya. Diteliti pakaian Zulaikha dari hujung kaki hingga ke kepala.

Dengan jeans low cut yang tersarung di kakinya, blouse pink yang jarang di bahagian lengannya, dan kain tudung yang diikat ke belakang menampakkan lehernya.

Puan Aida menggelengkan kepalanya tanda tidak berpuas hati dengan cara pemakaian anaknya. Walaupun bertudung tetapi masih tidak sempurna.

“Kan hari ni hari Jumaat. Lagi cantik kalau Zu pakai baju kurung. Lagi ni pihak kolej tak saman ke Zu pakai macam ni?”

“Ala ma.. Zu dah lewat ni. Zu pergi dulu ye ma..”

***


“Apa guna pakai tudung kalau pakai baju ketat-ketat..”

Berdesing telinga Zulaikha mendengar sindiran seorang makcik di dalam masjid sewaktu dia mahu memakai tudung seusai solat Asarnya.

‘Tak padan dengan usia’, getus Zulaikha.

“Itulah anak-anak sekarang, nak tunjuk badannya yang cantiklah kononnya, kalau macam tu tak payahlah nak pakai tudung. Taklah buat malu orang-orang yang memang ikhlas nak pakai tudung..” tambah seorang makcik yang lebih muda daripada makcik yang menyindirnya tadi.

Bukan menyindirnya secara terangan, namun kata-kata tajam itu seperti menusuk-nusuk dirinya memandangkan hanya dia yang memakai pakaian seperti yang diperkatakan oleh mereka.

Zulaikha berlalu daripada kawasan makcik-makcik yang membuatkan hatinya panas sebentar tadi. Dijeling sekilas wajah-wajah makcik yang dirasakan tidak sesuai dengan perwatakan mereka.

‘Bertudung tapi suka mengumpat, sama saja. Kenyang agaknya ratah bangkai kat akhirat nanti’, getus Zulaikha lagi.

Zulaikha melangkah keluar daripada kawasan masjid. Sewaktu hendak keluar dia berselisih dengan seorang wanita yang bertudung litup.

“Zulaikha!”

“Ida! Ya Allah tak kenal aku tadi..”

Zulaikha berpelukan dengan sahabat lamanya semasa menuntut di sekolah menengah yang sama satu waktu dahulu.

‘Semakin cantik dan manis’, puji Zulaikha di hati melihat keterampilan temannya.

Tidak disangka, teman yang sekian lama tidak dijumpa itu rupanya menuntut di universiti yang sama. Bertambah terkejut dengan penampilan temannya itu. Alangkah kecilnya dunia ini.

“Eh Ida, aku tak boleh lama ni, nanti kita contact balik ye. Senang-senang aku ajak kau keluar ke…”

“Ok, eh berapa nombor Zu? Asyik tukar nombor je, susah nak contact..”

Sorry, biasalah nak lari dari ceti, hehe. Nah ni nombor aku”, Zulaikha menghulurkan kad kepada temannya.

Sebelum berpisah, mereka bersalaman sekali lagi. Zulaikha berlalu menuju ke keretanya yang terparkir di sudut luar masjid.

Sesampai sahaja di keretanya, kelihatan seorang lelaki separuh abad dengan pakaian seragam sedang asyik menulis sesuatu di sebelah perodua Kancilnya.


………………………………..



Zulaikha kebosanan. Yahoo messenger di skrin komputernya dipandang sepi. Bosan. Sahabat mayanya tidak aktif malam ini. Mungkin sibuk dengan aktiviti harian. Duga zulaikha.

Zulaikha menutup komputernya. Diambil satu buku secara rawak di rak sebelah komputernya. Zulaikha berbaring di katil. Bantal ditinggikan buat penyandar kepala.

‘111 Wasiat Rasulullah S.A.W Untuk Wanita Solehah’, desis Zulaikha sewaktu membaca judul buku yang diambilnya. Buku pemberian mama kepadanya. Tidak pernah dibaca selama ini. Hanya menjadi tatapan mata sahaja.

Zulaikha mahu mengambil buku yang lain namun kemalasan menguasai diri. Malas mahu bangkit dari tilam yang empuk, Zulaikha membuka buku tersebut.

Buat permata hati mama Zulaikha,
Moga puteri mama ini menjadi
sebahagian daripada wanita yang
dijanjikan syurga buatnya kelak…
Salam sayang dari mama


Zulaikha terharu membaca muka pertama buku tersebut. Mama mengharapkan dia membaca buku ini namun sekian lama baru kini Zulaikha membukanya.

Dipilih secara rawak bab yang tertera. Zulaikha tertarik dengan bab larangan mendedahkan aurat.

...Dan janganlah kamu mendedahkan auratmu kepada lelaki yang bukan ajnabi kerana sesungguhnya perbuatanmu itu termasuk dalam golongan orang yang mungkar…


Zulaikha terkedu. Bacaanya dihentikan sebentar. Menarik nafas mencari ruang sebelum meneruskan pembacaanya.

...Aurat seorang wanita adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangannya. Maka wajiblah seorang wanita menutup seluruh anggota tubuh badannya bagi mengelakkan fitnah dan dosa. Namun, masyarakat sekarang sering lupa akan tuntutan yang wajib ini. Segelintir kaum wanita hanya menutup kepalanya dengan tudung namun lupa akan aurat di kakinya….


Zulaikha meneguk liur. ‘Termasuk akulah ni kaum segelintir yang tak sempurna tutup aurat ni…’ Zulaikha meneruskan pembacaannya lagi.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]


Bantal penyandar diperbetulkan agar selesa. Zulaikha melangkah helaian ke bab seterusnya tentang siksaan buat kaum wanita.

Maka sabda Nabi SAW:
"Ada pun perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya kerana ia tiada mahu menutup rambutnya daripada lelaki yang haram memandang dia.."


Teet teet..

Zulaikha yang khusyuk membaca terhenti. Buku yang dibacanya diletak di sisi. Telefon bimbit dicapai. Satu nombor asing terpapar di skrin telefon bimbit. Zulaikha berkira-kira sebelum menjawab. Punat hijau ditekan.

“Hello..”