HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

23 Disember 2010

Road to Singapore

MUKADDIMAH

Alhamdulillah, akhirnya setelah genap enam bulan pemergian kami ke Kota Singa dalam program ‘Road to Singapore’, baru kini saya dapat memberikan sedikit perkongsian perjalanan kami yang memberi pelbagai ibrah kepada diri dan setiap hati yang bertandang ke negara jiran ini. Sibuk dengan aktiviti kuliah dan kehidupan seharian membantutkan perjalanan catatan saya ke Singapura. Moga catatan perjalanan saya dan teman-teman sedikit sebanyak memberi manfaat kepada sesiapa yang menjelajah ke blog saya ini. Selama dua minggu kami berkampung di Sekolah Rendah Islam Al-Hira’ di Batu Belah sebelum disudahi dengan program R2S ini. Pelbagai perkara yang menarik yang kami perolehi semasa pengurusan pas perjalanan kami yang menghadapi sedikit kesukaran yang menyebabkan perjalanan kami terpaksa dilewatkan daripada tarikh yang sebenarnya.


18 Disember 2010

Hasil Filem Studi


Alhamdulillah, setelah menempuh pelbagai dugaan dan ranjau bergelar pemegang ijazah, terkadang rebah di tengah jalan dan memaksa diri berpaut pada ranting-ranting sebelum merangkak menapaki pendakian 'ilmu', akhirnya saya sudah hampir sampai di pertengahan jalan menuju 'permulaan' kejayaan. Hampir 5 tahun bermastautin di bumi Shah Alam ini, otak saya tepu dengan ragam dan ranjau bergelar pelajar sedari usia 17 tahun sehingga menginjak ke 22 tahun.  Kalau kahwin, saya sudah boleh menimang dua cahaya mata : ).

Jom Camping

Beberapa hari yang lalu, seorang kenalan atas kenalan menjemput saya dan beberapa teman yang lain menyertai satu program perkhemahan remaja anjuran Belia Bersatu Remaja Shah Alam (BES). Masa senggang tanpa sebarang aktiviti membuatkan kami bersetuju menjadi fasilitator dengan amanah 'amal ma'ruf wa nahi mungkar' yang diberi kepada kami. Program yang dianjurkan merupakan program julung yang saya sertai memandangkan sebelum ini saya banyak menyertai program-program tarbiyah dan juga beberapa program anjuran tempat pengajian saya. Julung kalinya saya menjadi fasilitator membuatkan semangat berkobar untuk menikmati pengalaman menjadi fasilitator.

INDAH KHABAR DARI RUPA
Tegal diri masih lagi kurang berhemah untuk menjadi yang paling sabar, kesabaran saya teruji dalam program ini. Saya bukan hanya gagal mengamalkan makruf dan mencegah yang mungkar, malah kesabaran saya juga sudah tidak dapat dibendung dek pengurusan yang tidak terancang, tidak seperti program yang pernah saya ikuti. Bayangkan, kami pada mulanya diberi arahan untuk menjadi fasilitator kepada anak-anak remaja, kemudiannya diberi tugasan menjadi pembantu dapur, pencegah maksiat, penguatkuasa disiplin, pemantau pendakian, pengawal di waktu malam dan pelbagai kerja hanya dalam satu masa!