HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

12 September 2009

mendamba hidayah-MU (siri 1)

SIRI 1

Zulaikha menghempaskan tubuhnya ke sofa. Dia merengus kegeraman. Kusyen empuk di sebelahnya menjadi mangsa melepaskan kegeraman yang bersisa. Jam berdenting enam kali. Jam antik pemberian seorang sahabat abah sewaktu mereka mahu berpindah ke Selangor lima tahun yang lepas.

Zulaikha menanggalkan tudung yang menutupi kepalanya. Kakinya dilunjurkan ke lantai. Mata Zulaikha terpejam erat. Mahu melupakan peristiwa yang membuatkan hatinya sebal sebentar tadi.

Telefon bimbit di dalam begnya dikeluarkan. Sehelai kertas kuning cair terjatuh dari dalam beg. Tertera dengan jelas nama Zulaikha Adam di atas kertas kuning tersebut dengan lambang universiti tempat Zulaikha menuntut. Direnyuk kertas kuning tersebut lalu dilempar ke dinding. Zulaikha puas. Kertas kuning menjadi mangsa melepaskan kegeramannya dengan pengawal kolej yang memberi amaran ke atasnya sebentar tadi. Kesalahan memandu kereta tanpa pas pelajar di kawasan universiti dan juga sahsiah rupa diri yang tidak menepati peraturan.

‘Yang tak pakai tudung tak disaman, yang pakai tudung disaman’, bentak Zulaikha geram.

Mata itu lama-kelamaan terkatup rapat. Zulaikha ketiduran dalam kemarahan yang masih merantai jiwa.

…………………………………..


Zulaikha bergegas menuruni anak tangga. Dia kelewatan hari ini untuk menghadiri kuliah Dr. Sofea. Natijahnya kerana sibuk bersembang dengan sahabat mayanya semalam. Sudahlah hari ini kelasnya diadakan di kampus utama.

“Zulaikha, mari sarapan sekali…”

“No ma, Zu da lewat kelas Dr. Sofea. Pergi dulu ma..”

“Zu, kejap. Zu nak pergi kelas pakai macam ni ke?”

Zulaikha berhenti. Puan Aida menghampiri anaknya. Diteliti pakaian Zulaikha dari hujung kaki hingga ke kepala.

Dengan jeans low cut yang tersarung di kakinya, blouse pink yang jarang di bahagian lengannya, dan kain tudung yang diikat ke belakang menampakkan lehernya.

Puan Aida menggelengkan kepalanya tanda tidak berpuas hati dengan cara pemakaian anaknya. Walaupun bertudung tetapi masih tidak sempurna.

“Kan hari ni hari Jumaat. Lagi cantik kalau Zu pakai baju kurung. Lagi ni pihak kolej tak saman ke Zu pakai macam ni?”

“Ala ma.. Zu dah lewat ni. Zu pergi dulu ye ma..”

***


“Apa guna pakai tudung kalau pakai baju ketat-ketat..”

Berdesing telinga Zulaikha mendengar sindiran seorang makcik di dalam masjid sewaktu dia mahu memakai tudung seusai solat Asarnya.

‘Tak padan dengan usia’, getus Zulaikha.

“Itulah anak-anak sekarang, nak tunjuk badannya yang cantiklah kononnya, kalau macam tu tak payahlah nak pakai tudung. Taklah buat malu orang-orang yang memang ikhlas nak pakai tudung..” tambah seorang makcik yang lebih muda daripada makcik yang menyindirnya tadi.

Bukan menyindirnya secara terangan, namun kata-kata tajam itu seperti menusuk-nusuk dirinya memandangkan hanya dia yang memakai pakaian seperti yang diperkatakan oleh mereka.

Zulaikha berlalu daripada kawasan makcik-makcik yang membuatkan hatinya panas sebentar tadi. Dijeling sekilas wajah-wajah makcik yang dirasakan tidak sesuai dengan perwatakan mereka.

‘Bertudung tapi suka mengumpat, sama saja. Kenyang agaknya ratah bangkai kat akhirat nanti’, getus Zulaikha lagi.

Zulaikha melangkah keluar daripada kawasan masjid. Sewaktu hendak keluar dia berselisih dengan seorang wanita yang bertudung litup.

“Zulaikha!”

“Ida! Ya Allah tak kenal aku tadi..”

Zulaikha berpelukan dengan sahabat lamanya semasa menuntut di sekolah menengah yang sama satu waktu dahulu.

‘Semakin cantik dan manis’, puji Zulaikha di hati melihat keterampilan temannya.

Tidak disangka, teman yang sekian lama tidak dijumpa itu rupanya menuntut di universiti yang sama. Bertambah terkejut dengan penampilan temannya itu. Alangkah kecilnya dunia ini.

“Eh Ida, aku tak boleh lama ni, nanti kita contact balik ye. Senang-senang aku ajak kau keluar ke…”

“Ok, eh berapa nombor Zu? Asyik tukar nombor je, susah nak contact..”

Sorry, biasalah nak lari dari ceti, hehe. Nah ni nombor aku”, Zulaikha menghulurkan kad kepada temannya.

Sebelum berpisah, mereka bersalaman sekali lagi. Zulaikha berlalu menuju ke keretanya yang terparkir di sudut luar masjid.

Sesampai sahaja di keretanya, kelihatan seorang lelaki separuh abad dengan pakaian seragam sedang asyik menulis sesuatu di sebelah perodua Kancilnya.


………………………………..



Zulaikha kebosanan. Yahoo messenger di skrin komputernya dipandang sepi. Bosan. Sahabat mayanya tidak aktif malam ini. Mungkin sibuk dengan aktiviti harian. Duga zulaikha.

Zulaikha menutup komputernya. Diambil satu buku secara rawak di rak sebelah komputernya. Zulaikha berbaring di katil. Bantal ditinggikan buat penyandar kepala.

‘111 Wasiat Rasulullah S.A.W Untuk Wanita Solehah’, desis Zulaikha sewaktu membaca judul buku yang diambilnya. Buku pemberian mama kepadanya. Tidak pernah dibaca selama ini. Hanya menjadi tatapan mata sahaja.

Zulaikha mahu mengambil buku yang lain namun kemalasan menguasai diri. Malas mahu bangkit dari tilam yang empuk, Zulaikha membuka buku tersebut.

Buat permata hati mama Zulaikha,
Moga puteri mama ini menjadi
sebahagian daripada wanita yang
dijanjikan syurga buatnya kelak…
Salam sayang dari mama


Zulaikha terharu membaca muka pertama buku tersebut. Mama mengharapkan dia membaca buku ini namun sekian lama baru kini Zulaikha membukanya.

Dipilih secara rawak bab yang tertera. Zulaikha tertarik dengan bab larangan mendedahkan aurat.

...Dan janganlah kamu mendedahkan auratmu kepada lelaki yang bukan ajnabi kerana sesungguhnya perbuatanmu itu termasuk dalam golongan orang yang mungkar…


Zulaikha terkedu. Bacaanya dihentikan sebentar. Menarik nafas mencari ruang sebelum meneruskan pembacaanya.

...Aurat seorang wanita adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangannya. Maka wajiblah seorang wanita menutup seluruh anggota tubuh badannya bagi mengelakkan fitnah dan dosa. Namun, masyarakat sekarang sering lupa akan tuntutan yang wajib ini. Segelintir kaum wanita hanya menutup kepalanya dengan tudung namun lupa akan aurat di kakinya….


Zulaikha meneguk liur. ‘Termasuk akulah ni kaum segelintir yang tak sempurna tutup aurat ni…’ Zulaikha meneruskan pembacaannya lagi.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]


Bantal penyandar diperbetulkan agar selesa. Zulaikha melangkah helaian ke bab seterusnya tentang siksaan buat kaum wanita.

Maka sabda Nabi SAW:
"Ada pun perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya kerana ia tiada mahu menutup rambutnya daripada lelaki yang haram memandang dia.."


Teet teet..

Zulaikha yang khusyuk membaca terhenti. Buku yang dibacanya diletak di sisi. Telefon bimbit dicapai. Satu nombor asing terpapar di skrin telefon bimbit. Zulaikha berkira-kira sebelum menjawab. Punat hijau ditekan.

“Hello..”

Tiada ulasan: