HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

30 Ogos 2009

sengaja kita dipertemukan (siri 1)

SIRI 1


Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah,
supaya kita dapat menjadi penilai yang baik,
memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah,
supaya kita sedar bahawa,
kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah...


Angin sepoi bahasa menampar lembut wajah yang terlindung di balik tudung yang dipakai. Sesekali tangannya mengusap ke arah perutnya. Tersenyum memandang perut yang penuh berisi di balik gaun labuh yang dipakai.

Matanya mula difokuskan ke arah perutnya. Terasa gerakan daripada fetus. Senyuman terukir di bibir comelnya. Anugerah Allah yang tidak terhingga buat dirinya.

“Nurjiha!”

Nurjiha melangkah pulang dari dewan peperiksaan. Girang hatinya kerana telah selesai menamatkan kertas terakhir peperiksaan SPMnya sebentar tadi. Pelajar lelaki ada yang membakar mercun sebagai tanda kemerdekaan setelah berhempas-pulas menelaah pelajaran.

Nurjiha bergegas pulang ke asrama. Petang ini ayah akan mengambilnya. Pakaian dan segala barang-barang miliknya dibungkus rapi. Nurjiha duduk menunggu kedatangan ayahnya di bilik bacaan.

‘Teet Teet’

Peti masuk mesej dibuka. Tersenyum keseorangan membaca mesej yang dihantar. Ditaip sepantas yang mungkin. Shahreez, lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya dengan kata-kata yang puitis yang bisa meruntun jiwa. Pertama kali hatinya diketuk oleh insan yang bergelar lelaki dan secara relanya Nurjiha membuka pintu hatinya buat insan silang jantina. Perkenalan yang tidak dirancang akhirnya mengundang bibit-bibit kasih.

Selama ini, Nurjiha tidak pernah melayan mana-mana lelaki yang cuba menghampiri. Prinsipnya sangat teguh, pelajaran harus diutamakan dari yang lain. Ibu dan ayah juga melarang Nurjiha daripada terlibat dalam permasalahan cinta ini. Ditambah dengan jawatan sebagai biro disiplin yang disandang membuatkan Nurjiha tekad dengan prinsipnya.

Tetapi, kehadiran Shahreez, pelajar tahun kedua sebuah universiti tempatan mengundang bunga-bunga rindu di hatinya. Mungkin pemikirannya dan kata-katanya yang lebih matang membuatkan Nurjiha terpaut hati kepadanya.

Sifat Shahreez yang tidak suka memaksa membuatkan Nurjiha menyukainya. Ditambah dengan sifat Shahreez yang suka memberikan nasihat kepadanya membuatkan Nurjiha menerima Shahreez sebagai teman istimewa.

'Assalamualaikum Nur. Dah solat? study elok2 tau...Shah nak kita sama-sama berjaya sampai ke puncak. Shah tunggu di puncak menara. CUDIPT'

'Shah suka ciri-ciri yang ada pada Nur. Nur tak mcm ppuan lain yg Shah knl. Nur alim, Shah suka. Tak lupa igtkan Shah ttg solat'.

'Shah baru habis kelas tadi. penat jgkla. Nur dh mkn? kelas td ok? Jom kita solat dulu lps tu kita smbg mesej'

'Shah dah tengok gambar Nur kat friendster. rasa segan dgn Nur.Shah jenis yang slumber je tp Nur sopan, lembut, nampak ayu je. Jage penampilan Nur tu tau. kalau boleh jgn letak gambar-gambar yang ayu kat fs tula. takut kena ngurat dgn org lain plk.. :P'


Nurjiha tersenyum sendiri apabila membaca mesej-mesej yang dihantar oleh Shahreez. Hatinya dirasuk bahagia. Lumrah seorang wanita apabila dipuji akan berasa gembira. Masanya yang selama ini diberikan sepenuhnya kepada pelajaran telah dicuri untuk beramah mesra dengan Shahreez melalui sistem khidmat pesanan ringkas. Namun begitu, pelajaran tetap menjadi fokus utama buat Nurjiha.

Nurjiha menghantar borang permohonan berhenti kerja. Sudah 5 bulan Nurjiha bekerja di pasaraya di kawasan tempat tinggalnya. Sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM, Nurjiha bekerja sementara di sebuah pasaraya sebagai juruwang. Ditambah lagi dengan tuntutan wang poketnya kerana setiap masa perlu menambah jumlah kredit telefon bimbitnya untuk berhubung dalam talian dengan Shahreez. Mahu meminta dengan ayah dan ibu, Nurjiha berasa tidak wajar.

Lagi dua minggu, dia akan meninggalkan negeri kelahirannya ini. Senyuman tidak pernah lekang di bibir Nurjiha. Berkat usahanya selama ini membuahkan hasil. Nurjiha memperolehi keputusan yang baik dalam SPM dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Yang paling menggembirakan, tempat Nurjiha akan menuntut ilmu merupakan universiti yang sama dengan Shahreez. Selama ini, Shahreez merupakan perangsang buat Nurjiha menuntut ilmu selepas ayah dan ibu Nurjiha.

Pertama kali tiba di sebuah tempat yang asing bagi dirinya. Selepas dihantar oleh ayah dan ibunya, bermulalah kehidupan Nurjiha sebagai seorang siswi yang baru. Pertama kali terpisah jauh dari keluarga, namun kerana tuntutan ilmu, Nurjiha akur.

“Assalamualaikum, nama saya Masyitah”

Nurjiha tersenyum menyambut huluran mesra seorang pelajar yang juga masih baru di penginapan. Masyitah yang menjadi temannya sepanjang minggu orientasi pelajar baru sehingga tamatnya program tersebut.

‘Assalamualikum syg.. tgh sibuk ke?

Nnti dah hbis orientasi abg jemput syg ye. Rindu nak jumpe syg’


Nurjiha hampir tesedak membaca mesej yang dihantar oleh Shahreez. Panggilan yang digunakan oleh Shahreez membuatnya termalu sendiri. Walupun malu, Nurjiha menyukainya. ‘Mungkin Shahreez mahu mereka lebih rapat lagi’, fikir Nurjiha.

‘Waalaikumussalam. Esok dh habis. Nnt apa2 syg btau abg ye…’


Mesej dihantar. Nurjiha tersenyum sendiri. Mungkin malu dengan panggilan pengganti diri yang baru sahaja digunakan. Masyitah yang duduk makan di hadapan Nurjiha kehairanan melihat telatah Nurjiha.

Seperti yang dijanjikan, Shahreez tiba di pintu utama kolej kediaman Nurjiha. Nurjiha bergegas bersiap di biliknya setelah mendapat mesej daripada Shahreez. Baju kurung ungu yang dipakai dipandang beberapa kali di hadapan cermin.

“Nak pergi dating ke Nur..?”

Nurjiha tersenyum cuma. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak.

“Pergi dulu ya!”

Nurjiha bergegas menuruni tangga kolej. Kakinya dilangkah panjang menuju tempat Shahreez menunggu. Shahreez tersenyum melihat penampilan Nurjiha. Tampak ayu dengan baju kurung yang dipakainya.

“Kita nak ke mana ni err.. abang..”

“Abang nak bawa sayang jalan-jalan sekitar bandar nilah.. Jom”

Nurjiha membuntuti langkah Shahreez. Shahreez menuju ke motornya yang diparkir di tapak meletak motor. Dihulurkan topi keledar kepada Nurjiha. Nurjiha teragak-agak untuk memakainya. ‘Ingat naik kereta tadi’, getus Nurjiha. Selama ini Nurjiha belum pernah membonceng motor dengan mana-mana lelaki kecuali ayahnya.

“Ini je yang abang mampu sayang… Abang tak kerja lagi nak bawa kereta besar..” ujar Shahreez seolah mengerti apa yang terpahat di hati Nurjiha.

Walau berat hati, Nurjiha terpaksa akur. Bimbang Shahreez akan berkecil hati dengannya. Buat pertama kali dalam hidupnya, Nurjiha membonceng motor bersama seorang lelaki ajnabi. Buat kali seterusnya, syaitan bersorak kegirangan kerana berjaya menghasut hati anak adam kepada perkara yang mungkar.

………..Bersambung………..



Tiada ulasan: