HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

30 Ogos 2009

sengaja kita dipertemukan (siri 2)



SIRI 2


Angin menderu laju sesekali menerbangkan dedaunan yang gugur di kaki bumi. Dikuis beberapa kali butir-butir pasir yang mencium wajah mulusnya. Posisi duduknya diubah. Terasa sengal duduk terlalu lama dalam keadaan yang serupa.

Angin petang yang begitu mendamaikan. Ombak yang memukul pantai menghasilkan bunyi seakan irama yang begitu mengasyikkan sekali. Sekonyong-konyong ingatan terbit di petak fikiran. Sehelai kertas dikeluarkan dari poket gaun labuh yang dipakainya. Dibuka perlahan lipatan kertas tersebut. Terserlah tulisan tangan bertinta hijau yang kemas di permukaan putih kertas.





Merahmu mengusik hati,
Harumanmu mengocak naluri,
Pesona mata yang memandang,
Menggamit hati nan walang

Nun luas terbentang hamparan kebiruan,
Mendamai hati tatkala kerungsingan,
Bayumu menitipkan kata-kata indah,
Semangat buat diri yang gundah,

Kini mawar merah tidak semerah dahulu lagi,
Lautan biru tidak sebiru dahulu lagi,
Kembalikan merahnya mawar yang kian pudar,
Pulangkan pesona biru lautan yang menghilang,
Agar dapat kurasa harumnya merah mawar,
Sebelum layu di dahanan hidup,
Bertemankan birunya lautan yang memikat,
Sebelum mengering di rekahan bumi.


“Kembalikan merah mawar yang pudar….”, ungkapan tersebut terluah bersamaan helaan nafas yang panjang.

‘Nak beli ke tak nak, beli ke tak nak’, Nurjiha masih buntu. Berulang kali mundar mandir di kawasan yang sama. Akal warasnya menidakkan tetapi…

“Boleh saya bantu cik..”

Ramah pembantu farmasi menegur. Acap kali Nurjiha mundar-mandir di kawasan yang sama membuatkan pembantu farmasi menghampirinya.

“Err..Tak ada apa-apa cik.. Saya cuma nak..”

“Ohh, cik nak beli alat ini ya, mari saya tolong pilihkan yang sesuai. Seeloknya cik err puan pilih jenama yang ini. Ketepatannya 99 peratus, tapi mahal sikitlah.”

Pembantu farmasi mengambil barang yang dikatakannya. Nurjiha telan liur cuma. Perasaan malu dan bersalah bercampur baur. Setelah habis membayar, Nurjiha segera beredar daripada kawasan farmasi tersebut.

Gegaran telefon bimbit di poket seluarnya menandakan mesej masuk. Sambil berjalan, Nurjiha membaca mesej yang tertera di skrin telefon bimbit. Mesej daripada Shahreez.

‘Lama lagi ke? Lecehlah..Abg tggu kat motorlah’


Nurjiha merengus. Sakit hati mengenangkan Shahreez. Tidak keterlaluan dikatakan hampir Nurjiha tidak mengenali lelaki yang pernah menjadi perangsang kepada semangatnya untuk berada di menara gading ini. Sikapnya semakin hari semakin nyata di pandangan Nurjiha. Hilang segala sifat romantik yang ada, sikap ambil berat apatah lagi.

Nurjiha menuruni tingkat menggunakan escalator. Hari ini hari bekerja, tidak ramai pengunjung yang mengunjungi kompleks pada hari ini. Nurjiha mendengus melihat sepasang kekasih asyik masyuk bercumbuan di hadapannya. Menyampah bercampur geram.

‘Tak malu betul’, getus Nurjiha.

Si lelaki memeluk erat pinggang sang kekasih sambil mulutnya terkumat-kamit berbisik di telinga. Tangan yang satu lagi dibiar bebas oleh sang kekasih untuk meraba di sudut yang terlarang. Si wanita pula seakan rela diperlakukan sedemikian rupa. Bangga boleh berpacaran dan bersenda gurau tanpa hirau mata-mata yang melilau.

“Abang, malulah duduk kat sini orang tengok..”

Nurjiha merengek manja kepada Shahreez. Hampir berpuluh kali Shahreez memujuknya untuk duduk di situ tetapi Nurjiha enggan. Nurjiha malu pada mata-mata yang memandang mereka berduaan di situ. Kerap ditepis tangan Shahreez yang mula pandai meliar mencari jemari mulusnya. Terasa getaran menyelinap ke segenap sendi tatkala jemari kasar milik Shahreez menggenggam jemari mulusnya.

“Oklah, kalau sayang malu kat sini, kita pergi kat tempat tak ada orang ya..”

“Tempat tak ada orang lagilah tak nak.”

Nurjiha membantah. Khuatir berlaku perkara yang tidak diingini jika mereka berdua. Silap hari bulan dicekup dengan penguatkuasa.

“Bukan, maksud abang kat tempat yang tak ada orang nak pandang-pandang kitalah.. Jom..”

Shahreez menarik jemari halus Nurjiha menuju ke motor yang diparkir tidak jauh dari tempat duduk mereka. Nurjiha seakan lembu dicucuk hidung hanya menurut langkah Shahreez. Hatinya berbelah bahagi. Rasa seronok dengan dunia barunya di sini serta layanan Shahreez terhadap dirinya tetapi berasa takut dan bersalah terhadap ibu dan ayahnya serta janji-janji yang diucap sebelum tiba di perantauan. Semakin jauh Nurjiha tersasar daripada landasan yang dibina selama ini.




***BERSAMBUNG***

Tiada ulasan: