HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

30 Ogos 2009

sengaja kita dipertemukan (siri3)



SIRI 3



Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah
Supaya kita sedar bahawa
Allah maha pemurah dan penyayang,
Kerana mengingatkan kita bahawa
Dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita
Dan kehidupan kita pada masa depan

Memanglah Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah
Supaya kita dapat mengutip pengalaman
Yang tak semua orang berpeluang mengalaminya.



Shahreez menguak pintu biliknya dengan kasar. Luqman, rakan sebiliknya yang sedang membuat kerja di laptop terkejut dengan tingkah Shahreez. Shahreez berbaring malas di katilnya.

“Angin tak ada, ribut tak ada, awatnya hang monyok semacam saja ni Reez..?”

Luqman membuka bicara. Shahreez masih menyepi. Tidak ada mood untuk bersuara. Matanya sengaja dipejamkan tanda tidak mahu menjawab pertanyaan Luqman. Luqman menyambung kerja yang terhenti setelah menyedari Shahreez tidak melayan pertanyaannya.

Shahreez terjaga daripada tidurnya. Sangkanya mahu melelapkan mata sebentar tetapi berlanjutan sehingga lewat malam. Shahreez bingkas bangun tetapi terhenti apabila melihat susuk tubuh seseorang sedang sujud di ruang tengah bilik.

Luqman Hakim, teman sebilik Shahreez pada semester ini. Perwatakan yang agak kontra dengan dirinya membuatkan Shahreez tidak betah duduk di biliknya. Rimas dengan sifat Luqman yang diibaratkan bagai malaikat itu. Jika keluar, kopiahnya tidak pernah lekang di kepalanya. Panas telinganya sering diperli oleh rakan-rakan sekepala dengannya.

“Reez dah kawan dengan ustaz lah. Lepas ni dia jadi ustaz jugalah..”

“Hai ustaz, mana kopiah ni, dari masjid ke?”

Shahreez memerhatikan Luqman yang khusyuk tunduk sujud pada yang Esa. Terkadang sifat Luqman membuatkan Shahreez terpikat dengan fikrah yang dibawa tetapi dia belum bersedia.

Rasa belum puas mengecap kenikmatan dunia. Bukan Shahreez tidak pernah cuba tetapi sering kali gagal. Dahulu, Shahreez terpikat dengan cara Nurjiha tetapi lama-kelamaan perkara itu terhakis dek masa.

Telahannya tepat, tidak berjaya. Sengaja diuji Nurjiha dengan kata-kata yang manis dan pujian yang melambung. Cabaran yang diberikan oleh rakannya membuatkan Shahreez tekad mahu mencuba memikat hati Nurjiha yang tika itu masih lagi menuntut di menengah tinggi.

Pemberian nombor telefon bimbit Nurjiha oleh Ikmal memberi ruang kepada Shahreez untuk menjalankan rancangannya. Sekeras-keras kerak nasi, lama-lama akan lembut jua, begitu juga dengan Nurjiha.

Mungkin sahaja Luqman turut akan terjerumus dengan cara hidupnya jika Shahreez menjinakkan pemikiran Luqman ke dalam gaya hidupnya seperti yang pernah terjadi kepada Nurjiha.

Shahreez mematikan lamunannya. Khusyuk melihat Luqman yang tidak jemu bermunajat di sepertiga malam. Terasa damai melihat Luqman. Hatinya yang rungsing kembali tenang setenang air di kali.

Teringat akan telefon bimbit yang dimatikan semenjak pulang ke bilik tadi. Shahreez menyeluk sakunya untuk mengaktifkan telefon bimbitnya. Mesej masuk bertalu-talu daripada penghantar yang sama. Nurjiha. Shahreez merengus geram.

‘Tak faham bahasa betul!’


***BERSAMBUNG***

Tiada ulasan: