HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

24 September 2009

mendamba hidayah-MU (siri 2)

Zulaikha memandang berkali-kali biasan tubuhnya di hadapan cermin. Mahu tampil sesopan yang mungkin. Baju kurung hijau lembut yang dipakainya dipadankan dengan tudung warna sedondon yang lebih lembut. Hujung tudung dibiar lepas tidak seperti selalu akan dililit atau dilipat ke atas.

‘Biar sikit-sikit asal aku istiqamah’ Zulaikha bicara sendirian. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Zulaikha bingkas keluar daripada bilik tidurnya. Dicapai beberapa nota kuliah sebelum keluar.

“Zu, mari sarapan sayang..”

Puan Aida tersenyum mesra melihat penampilan anaknya pada hari ini. Cantik dan sopan tidak seperti kebiasaan.

“Mimpi apa hari ni sayang pakai cantik-cantik ni?”

“Cantik ke ma? Biasa je zu rasa. Mama ni ada-ada jelah..”

“Ke sebab takut kena saman dengan pak guard lagi ni..”

Encik Adam menyakat anaknya. Zulaikha memuncungkan mulutnya tanda tidak berminat dengan giatan abahnya mengungkit kisahnya disaman pengawal keselamatan. Puan Aida dan Encik Adam tersenyum melihat anak mereka pada pagi ini. Jarang sekali mahu melihat Zulaikha berbaju kurung. Biasanya seluar jeans yang menghiasi tubuh anak mereka. Tetapi pagi ini, tubuh anak mereka kelihatan menawan dengan baju kurung yang menyaluti tubuh Zulaikha. Wajah bersih tanpa olesan warna kosmetik menyerlah kecantikan milik anak mereka.

“Ok lah ma, abah, Zu pergi dulu ye. Dah lewat ni..”

Zulaikha menyalami Encik Adam dan Puan Aida sebelum beredar ke pintu utama rumah milik keluarga Encik Adam. Dicapai kasut yang bertutup di rak kasut. Kaki yang telah siap berstoking warna coklat muda disarung ke kasut. Sorotan mata Puan Aida mengiringi langkah anak kesayangannya itu.

“Dah dewasa anak kita tu bang..”

“Hai baru tahu ke. Kita ni dah makin tua Aida.. Rumah kata pergi kubur kata mari..”

“Ish, ke situ pulak abang ni. Saya tengok si Zulaikha tu dah elok sikit pakaiannya. Sopan sikit. Taklah mata ni sakit tengok. Sebelum anak Kak Zaleha tu balik, kita kena ubah si Zulaikha tu. Taklah terkejut bakal menantu kita tu tengok nanti..”

“Hah itulah awak ni. Nak ubah anak niat tu kena ubah Aida oi.. Biarlah dia berubah kerana hatinya. Bukan kerana bakal suaminya..”

 

Puan Aida terdiam dengan hujahan suaminya. Encik Adam bangkit daripada kerusi. Puan Aida membuntuti langkah suaminya hingga ke muka pintu. Dikucupi tangan suaminya sebelum Encik Adam membolosi tubuh ke dalam kereta. Perlahan-lahan kereta Proton Saga milik Encik Adam meninggalkan perkarangan rumah. Puan Aida masuk semula ke dalam rumah setelah kelibat proton Saga milik suaminya hilang di pandangan.
………………………………………

Zulaikha memarkirkan kereta perodua Kancilnya di bawah rendangan pokok di sudut kereta pelajar. Bergegas keluar untuk ke kuliah Puan Umi, pensyarah mata pelajaran kritikan teater, mata pelajaran yang wajib diambil bagi pelajar-pelajar fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik.

Sesampai di dalam kelas, semua mata tertumpu ke arah Zulaikha. Pelajar lelaki terutamanya giat mengusik penampilan Zulaikha. Zulaikha tidak menghiraukan giatan rakan sekelasnya itu. Tidak menjadi kudis di hatinya. Zulaikha mengambil tempat duduk yang masih kosong. Sekejapan duduk, puan Umi masuk. Seperti kebiasaan, Puan Umi akan menyoal beberapa perkara yang telah diajarkan semasa kuliah yang lepas sebelum kuliah baru bermula. Untuk mengecas minda-minda anak didiknya supaya tidak lupa, ujar Puan Umi suatu waktu dahulu.

“Siapa yang boleh huraikan tentang faktor perkembangan teater Islam..?”

“Saya Puan Umi”, Zulaikha pantas menjawab. Puan Umi mengiyakan dengan isyarat mata.

“Tiga tokoh yang membicarakan tentang faktor penyebaran Islam yang boleh diambil sebagai penyumbang kepada perkembangan teater Islam. Menurut Syed Hassan Nash, Islam mudah diterima kerana bersifat syumul dan mudah difahami. Selain daripada mudah difahami, agama Islam juga mempunyai spritual yang tinggi.

Menurut Syed Al-Qutb pula, Islam itu mudah diterima. Islam adil dan saksama dalam meletakkan sesuatu hukum. Osman Bakar pula menerangkan bahawa agama Islam itu mudah disampaikan melalui bentuk kesesuaian perlambangan. Contohnya penerapan pendidikan anak-anak boleh kita terapkan melalui mesej-mesej seperti penggunaan public service announcer…”

Well done Zulaikha. Umi suka penampilan kamu pada hari ini. Teruskan ye..” Puan Umi menepuk lembut bahu Zulaikha.

Kelas mula riuh dengan sorakan daripada pelajar-pelajar cuba menggiat pujian Puan Umi kepada Zulaikha. Sekejap cuma apabila Puan Umi menunjuk isyarat telunjuk di mulut. Kuliah diteruskan lagi dengan topik yang baru.

“Anak-anak umi sekalian, kamu semua sebagai pelapis masyarakat. Umi nasihatkan supaya kamu semua suatu hari nanti mampu mengenterpretasikan hasil karya kamu yang lebih bercirikan identiti masyarakat kita. Tak kiralah dalam bidang apa pun. Teater, filem mahupun di akhbar ataupun radio. Cuba lihat bagaimana Iran mampu menghasilkan filemnya sendiri, children from heaven yang tidaklah havoc dengan adegan erotiknya, tapi filem tersebut boleh menang award. Yang penting adalah mesej, ideologi yang hendak disampaikan. Umi cabar anak-anak didik Umi supaya boleh menghasilkan karya sebegitu..”

Hujah Puan Umi disambut dengan sorakan daripada pelajar di dalam kelas. Puan Umi Kalthum, sesuai dengan namanya, seorang pensyarah yang sangat dekat di hati pelajar-pelajarnya. Tidak lupa sentiasa diselitkan dengan unsur islami di dalam setiap kuliahnya agar anak didiknya thiqah dalam menuntut ilmu. Zulaikha sangat mengagumi pensyarah yang berjiwa keibuan ini. Tidak jemu Puan Umi memberikan nasihat dan kata perangsang buat anak didiknya. Lebih mengagumkan lagi, Puan Umi berkelulusan dari Universiti Al-Azhar dalam bidang kesenian Islam. Tiada siapa yang menduga, wanita bertubuh kecil ini mempunyai semangat yang tinggi dalam mentarbiyyah anak-anak didiknya walaupun pelajar di fakulti ini sering dianggap sosial dan tidak bersahsiah.

Pernah suatu ketika semasa sessi kuliah, Puan Umi menyelitkan kisah Buraq, haiwan tunggangan yang membawa Rasullullah SAW semasa peristiwa Mikraj. Buraq adalah seekor binatang yang rupanya seperti kuda. Saiznya kecil sedikit daripada kuda tapi lebih besar dari keldai. Lariannya sepantas kilat. Selangkah lompatannya, sejauh mata memandang jaraknya. Buraq akan memanjangkan kaki belakangnya ketika ia mendaki manakala akan memanjangkan kaki depannya pula apabila ia menurun. Menggerak-gerakkan telinga dan kakinya adalah tabiat semulajadi buraq.

Di samping rupanya yang cantik, terdapat sayap pada kedua-dua pehanya. Sayap ini adalah untuk membantu kecepatan lompatannya. Allah SWT telah memerintahkan Jibrail AS ke syurga untuk memilih buraq sebagai kenderaan Nabi SAW ke langit. Kemudian Jibrail pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad SAW.

Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail terpandang pada seekor buraq yang berwarna putih sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail lalu menghampirinya lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?" Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad SAW sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan sesudah itu aku menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."

Berkata Jibrail, "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu." Kemudian Jibrail memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad SAW. Ketika sampai di bumi, buraq yang dibawa oleh Jibrail itu menojang-nojangkan kakinya. Ia seolah-olah enggan ditunggangi.

Melihat demikian, malaikat Jibrail memegangnya dan berkata: "Wahai buraq! tidak malukah engkau? Demi Allah, orang yang akan menunggangi engkau adalah orang yang paling mulia di sisi Allah SWT". Mendengar perkataan Jibrail itu maka bercucuranlah peluhnya. Ia kelihatan kemalu-maluan dan tidak lagi resah.

Nabi SAW pun naik ke tempat yang tersedia di atas badan buraq, sebagaimana dilakukan oleh nabi-nabi sebelum baginda nabi SAW. Kerana terlalu menghayati kisah tersebut, Puan Umi bercerita kisah tersebut sehingga mengalirkan air mata.

“Sebelum kuliah tamat, umi nak minta anak-anak umi sekalian ringan-ringankan punggung kamu untuk menonton teater arahan umi ye. Khamis ni di studio fakulti kita. Teater ni akan dijadikan sebagai kertas kerja kamu. Jangan lupa..”

Puan Umi mengedarkan risalah pementasan teater kepada pelajar-pelajar. Tertera tajuk ‘Cinta Pessantren’. Terdengar keluhan daripada beberapa orang pelajar yang keberatan mahu menonton apabila mengetahui tajuk teater tersebut. Zulaikha melipat risalah tersebut lalu diselitkan di buku notanya. Bingkas keluar dari kelas.

Masa yang sedikit cuba digunakan untuk mencari bahan di perpustakaan. Ada sesuatu yang menggamit hatinya untuk menelaah di perpustakaan. Seusai kelas terakhirnya pada petang itu, Zulaikha membawa haluan ke pusat bandar. Diparkirkan perodua Kancilnya di Pusat Kompleks Negeri Selangor. Petang ini sebenarnya dia mempunyai janji temu dengan Zahidah, teman lamanya sewaktu di sekolah dahulu. Zulaikha menilik jam di tangannya. Masih awal setengah jam janji temunya dengan Zahidah. Zulaikha berjalan-jalan di sekitar kompleks sementara menunggu kedatangan temannya.

Teet teet…

Telefon bimbit dicapai. Mesej daripada Zahidah. Zulaikha bergegas turun ke tingkat bawah kompleks mencari kelibat temannya. Senyuman terukir di wajah Zahidah. Zulaikha menghampiri temannya. Mereka bersalaman dan berpelukan mesra. Tidak dihiraukan mata-mata kehairanan yang memandang perilaku mereka. Apa nak dihairankan sepasang kaum hawa berpelukan, sedangkan pasangan yang berlainan jantina berpelukan menjadi santapan mata, penambah dosa di hati mereka, tidak pula dipandang jelek. Zulaikha meleraikan pelukannya.

Zahidah sungguh manis dengan baju kurung biru laut dengan padanan tudung labuh warna senada yang lebih lembut. Mereka berbual mesra sambil berjalan menuju ke gerai makan yang berhampiran.

“Ida, ambillah udang masak sambal ni, kan favourite Ida..” Zulaikha mengambil sesenduk udang masak sambal untuk diletak di pinggan Zahidah.

“Hmm tak apalah Zu, lauk Ida dah banyak ni. Zu jelah yang ambil ye..”

Selesai membayar harga makanan, mereka mencari sudut yang agak jauh daripada orang ramai untuk makan. Sesekali zulaikha meneliti wajah temannya yang makan. Tertib suapan makanan yang singgah di mulut comel temannya. Zulaikha meneliti dirinya pula. Makan dengan sudu dan garfu siap di tangan. Malas mahu membasuh tangan.

Zulaikha terasa sunyi. Cuba mencari topik perbualan dengan temannya.

“Ida, nah ambillah udang masak sambal ni. Tadi kan sebab lauk Ida dah banyak kan. Nah ambillah…”

Zulaikha menghulurkan udang masak sambal kepada Zahidah. Zahidah tersenyum cuma sebelum menyahut pelawaaan Zulaikha. Butir nasi yang dimakan dikunyah perlahan sebelum meyambut kata-kata Zulaikha. Zulaikha masih menanti.

“Zu, Ida bukan tak nak lauk udang masak sambal tu. Tapi, Ida dah ambil lauk ayam ni. Adab makan, seeloknya makanan laut tak elok bercampur dengan makanan di darat. Kan itu sunnah Rasulullah. Kalau sayur ni tak apalah..” ujar Zahidah panjang lebar.

Zulaikha tersenyum mendengar hujahan Zahidah. Sedikit malu sebenarnya. Cuba mencetuskan topik, namun topiknya tidak mengena. Usai makan, mereka menuju ke musolla yang terletak di aras kedua kompleks. Azan asar kedengaran merdu dilafaz oleh muslimin di balik tabir yang menjadi pemisah antara muslimin dan muslimat.

Usai solat berjemaah, mereka turun semula ke legar kawasan kompleks. Singgah di kedai buku mencari bahan bacaan yang sesuai, mereka masuk pula ke butik pakaian. Zulaikha hanya meninjau-ninjau pakaian yang terpamer di butik itu. Tidak berniat untuk membeli koleksi jubah yang disediakan. Sebelum maghrib menginjak tiba, Zulaikha dan Zahidah beredar dari kompleks tersebut. Zulaikha menghantar Zahidah ke kawasan kolej kediaman Zahidah. Sebelum berpisah, Zahidah memberikan sebungkus beg kertas bercorak abstrak kepada Zulaikha.

“Sebagai tanda persahabatan kita..” ujar Zahidah tersenyum.

Zulaikha terharu lantas memeluk erat temannya. Zulaikha pulang ke rumah dengan perasaan yang terharu. Usai membersihkan diri dan bersolat, Zulaikha membuka isi beg kertas yang diberikan oleh Zahidah. Zulaikha terharu dengan pemberian temannya itu. Sehelai jubah warna ungu lembut dengan hiasan kain chiffon warna hitam kelihatan sungguh feminin. Sehelai selendang bercorak abstark berwarna senada turut dihadiahkan oleh Zahidah kepadanya.

‘Cantik’, tukas Zulaikha di hatinya. Terharu dengan pemberian temannya. Semasa di butik tadi, Zahidah meminta pendapatnya untuk mencari jubah yang terpamer. Buat hadiah seorang teman, ujar Zahidah sewaktu ditanya Zulaikha. Zulaikha mencadangkan jubah ini memandangkan Zulaikha memang minat dengan warna ungu lembut. Tidak disangka, rupa-rupanya jubah yang dibelikan adalah untuk dihadiahkan kepada dirinya.

“Terima kasih Ida..”

***BERSAMBUNG***

Tiada ulasan: