HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

07 Oktober 2009

mendamba hidayah-MU (siri 3)

SIRI 3




Zulaikha duduk di bangku batu melihat kelincahan teman-temannya bermain futsal. Sempena dengan sukan kolej, pelbagai aktiviti disediakan dan dianjurkan oleh jawankuasa perwakilan kolej.

Malas mahu menyertai, Zulaikha hanya menjadi tukang pemerhati. Pandangan matanya sesekali melilau melihat pelajar-pelajar di kawasan fakulti yang berhampiran dengan kawasan kolej. Mata Zulaikha tertancap kepada sekelompok siswi yang baru keluar daripada surau kolej.

“Mereka tu manalah boleh join kita ni. Tak sekepala..” sinis bicara Zifa suatu ketika dahulu sewaktu kelompok siswi bertudung labuh lalu di hadapan mereka.

“Tengok tu, nak jalan dengan geng diorang je kan. Macam mana nak maju. Tengah panas terik ni nak bertutup sana sini. Hish, rimas aku...”

Zulaikha hanya memerhati. Malas mahu mengulas lanjut. Prinsipnya, jika tiada hal yang berkaitan dengannya, dia lebih suka menjadi pemerhati dan pendengar. Zulaikha masih lagi mngelamun memandang ke arah kelompok siswi bertudung labuh. .

“Assalamualaikum ukhti..” 





Zulaikha terkejut dengan sapaan seorang siswi. Salah seorang sisiwi yang keluar daripada surau tadi menghampiri Zulaikha. Ditoleh kiri dan kanannya. Tiada sesiapa. Siswi itu tersenyum melihat riak terkejut Zulaikha.

“Maaf mengganggu. Jemputlah datang ke surau kolej hujung minggu nanti..”

Huluran kertas berwarna kuning cair itu diberikan kepada Zulaikha. Zulaikha teragak-agak untuk mengambilnya.

“Jemput kawan-kawan ukhti sekali..”

“Err.. Insya-Allah..” Dalam gagap Zulaikha menjawab.

Rupanya panggilan ukhti itu ganti diri untuk dirinya. Pada mulanya Zulaikha menyangka siswi itu menyebut nama seseorang yang berhampiran dengannya. Siswi itu mengucapkan salam sebelum berlalu daripada kawasan tempat duduk batu.

Dipandang sekilas pada helaian kertas yang diberi oleh siswi tadi. Program sempena womens day. Banyak aktiviti yang disenaraikan di situ.

Jungle tracking pun ada juga..’

Zulaikha berkerut kehairanan. Terkejut mungkin melihat perwatakan siswi tadi, namun tidak menyangka program yang ekstrem sebegini juga turut dianjurkan oleh golongan siswi bertudung labuh. Dilipat helaian kertas lalu dimasuk ke dalam poket seluarnya.

***

Zulaikha berbaring malas di katil. Memandang seketika ke arah telefon bimbitnya. Tiada panggilan atau mesej masuk hari ini. Bosan. Sudah berhari-hari tidak dibuka yahoo messengernya. Entahlah. Malas atau lebih tepat lagi merajuk hati dengan sahabat mayanya.

Kebosanan menghimpit ruangan hati Zulaikha. Mama dan abah awal-awal lagi sudah ke rumah Pak Ngah Salim. Tinggal dia keseorangan di rumah. Berkemungkinan Ahad nanti baru abah dan mama pulang.

Biasanya jika berseorangan begini, Zulaikha lebih selesa bermalam di kolej kediamannya bersama teman sefakulti yang lain. Jarak rumahnya yang tidak jauh daripada kawasan tempat Zulaikha menuntut membuatkan Zulaikha lebih selesa pulang ke rumah. Jika ada kerja berkumpulan dan kelas sehingga lewat malam barulah Zulaikha bermalam di kolej.

Fikiran Zulaikha menerawang. Kenangan lama disingkap dari tirai hidupnya. Sedar tidak sedar sudah hampir lima tahun keluarganya berpindah ke Selangor ini.

Dua tahun pertama Zulaikha belum terikat sepenuhnya dengan suasana di tempat keluarganya ini kerana dia masih lagi menuntut di Sekolah Telok Pindang (STEPO) di Johor.

Selepas tamat sekolah menengah barulah Zulaikha menetap di Selangor bersama keluarganya. Tidak mahu berjauhan dengan abah dan mama, Zulaikha menerima tawaran menyambung pengajian peringkat diploma dalam kursus penulisan seni layar walaupun sebenarnya dia mendapat tawaran ke matrikulasi di Perlis.
Sementelahan lagi tempat Zulaikha menuntut kini tidak menyukarkan Zulaikha untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kuliah.

Kenangan semasa menetap di Johor mengimbau dirinya kembali. Rindu akan teman-temannya di Johor. Tidak disangka teman seperjuangan menuntut ilmu di sekolah lamanya sebelum berpindah ke STEPO bertaut kembali di sini.

Zahidah. Indah namanya seindah perilaku yang punya nama. Teman lamanya yang amat akrab suatu waktu dahulu. Terpisah kerana faktor dia bertukar sekolah apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di STEPO.

Zaman awal remaja yang sangat tidak akan dilupakan oleh mereka berdua. Kenakalan mereka semasa menuntut membuatkan Zulaikha tersenyum keseorangan. Setelah hampir empat tahun tidak bersua, terasa kekok untuk bersua. Zahidah yang dikenali kini tidak seperti dahulu. Mungkin meningkat dewasa, kematangan membuatkan Zahidah beranjak perilaku.

‘Sedangkan pantai lagi berubah inikan pula manusia’, Zulaikha tersenyum.

Banyak yang telah berubah kini. Dirinya juga telah beranjak kepada satu alam yang lebih dewasa. Tiada lagi kenakalan seperti sewaktu di menengah rendah dahulu.

Latihan disiplin yang diamalkan semasa menuntut di asrama menjadi benteng buat dirinya. Barangkali benteng itu tidaklah sekuat tembok yang dibina satu waktu dahulu yang bisa sahaja roboh jika tidak dibaja dengan keimanan. Dunia dewasa yang bisa menjatuhkan atau membangunkan seseorang jika kena dengan acuannya.

Di STEPO dahulu, Zulaikha sering mengikuti program-program yang dianjurkan oleh warden yang menjaga pelajar-pelajar di asrama. Aktif dengan aktiviti di surau.

Apabila Ramadhan menginjak tiba, pelbagai aktiviti dijalankan di surau asrama. Dari program qiamullail sehinggalah ke solat tarawih secara berjemaah. Sungguh teratur dan bersiplin dirinya tika itu.
Cuma kini, semenjak berpindah ke Selangor dan menuntut di universiti, Zulaikha seakan kurang daripada tuntutan kerohanian itu. Bukan abah dan mama tidak menggalakkannya, tetapi faktor persekitaran yang membuatkan Zulaikha alpa.

Kesibukan kuliah dan juga tiada kongkongan seperti sewaktu bersekolah dahulu membuatkan Zulaikha kurang sensitivitinya kepada tuntutan rohani. Mungkin juga kejutan budaya yang dihadapinya.

Perkenalannya dengan teman-teman sekuliah juga merupakan faktor kelalaiannya. Pakaiannya walaupun masih lagi bertudung tetapi tidak sempurna. Bukannya Zulaikha tidak tahu, tetapi mahu mengikut peredaran zaman. Tidak mahu dikatakan kolot, hujah yang diberikan kepada mama tiap kali ditegur.

Zulaikha kadang berasa megah apabila dirinya menjadi perhatian kebanyakan pelajar lelaki di kolej. Seronok apabila diri menjadi siulan dan usikan daripada senior-seniornya. Lumrah wanita, suka dipuja dan diberi perhatian walaupun dengan cara yang salah.

Hujung minggu banyak dihabiskan dengan berlibur bersama teman-temannya. Daripada menonton wayang sehinggalah sekadar mencuci mata berlegar ke pusat membeli belah. Jika wang sakunya penuh, bolehlah berbelanja membeli pakaian yang baru, jika tidak cukuplah sekadar mencuci mata.

Entah kenapa semenjak akhir-akhir ini, dirasakan hatinya kosong. Semenjak bertemu dengan Zahidah, serasa malu pada diri sendiri. Zahidah tidak seperti dirinya kini. Perwatakannya sahaja mampu meruntun jiwa Zulaikha.
Dahulu bahasanya kasar dengan Zahidah, tapi kini panggilan ganti nama diri bertukar kepada Zu dan Ida. Zulaikha berasa malu kerana tidak pernah mengaplikasikan ilmu yang pernah dipelajari semasa menuntut dahulu. Zulaikha cemburu dengan kejernihan yang terpamer di wajah Zahidah.


- ‘Buat apa nak ikut orang Zu. Kau kena berubah sebab diri kau lah Zu. Kalau kau nak ikut-ikut orang, itu namanya hipokrit tau!’, suara di dalam hatinya berkata.

- ‘Bukan mengikut orang, mungkin ini hidayah dari Allah, siapa tahu. Allah nak bagi kamu petunjuk dari seorang teman…’

- ‘Alah, cakap jelah kau tu memang suka ikut-ikut orang. Tak ada pendirian langsung. Dulu kau pakai tutup sana-sini pun sebab memang ikut orang juga kan. Kau memang tak ikhlas lah Zu. Kau buat semua tu sebab kau ikut-ikut orang je..’

- ‘Itu bukan ikut orang tetapi memang syariat yang perlu Zu ikut’

- ‘Alah tipulah. Kau memang nak ikut orang kan. Nak tarik perhatian kawan kau Zahidah tu. Sudahlah Zu, nanti kalau kau tukar imej kau apa kata kawan-kawan kau nanti. Siapa nak ajak kau jalan-jalan lagi, pergi karoake, tengok wayang. Nanti kau bertutup sana-sini tak ada siapa nak ngurat kau lagi’

“Argh!!” Zulaikha memicit kepalanya. Terasa bingung dengan suara-suara yang hadir dalam dirinya.

Teet teet

Zulaikha bingkas mencapai telefon bimbitnya. Peti masuk segera dibuka. Tertera nama Zahidah di skrin telefon bimbit.

“Assalamualaikum Zu. Sorry ganggu. Esok free tak? Kalau free Ida nak ajak Zu temankan Ida esok”


Zulaikha berfikir sejenak sebelum membalas mesej Zahidah.

- Alah Zu, tak payah pergilah. Entah-entah kawan kau tu nak ajak kau sebab kau ada kereta. Nanti kau kena hipokrit dengan Zahidah tu. Dia tu ustazah, mana layak keluar dengan kau. Baik kau keluar dengan kawan-kawan kau yang sekepala. Lagi best.

- Apa salahnya ikut Zahidah. Kan Zahidah tu kawan lama Zu. Mungkin ada perkara yang dia nak bagi tahu Zu ke. Pergilah temankan Zahidah.

Zulaikha mengikut suara hatinya. Dibalas mesej Zahidah.

“Waalaikumussalam. Free. Nak ke mana? Zu temankan.”


Dua minit menanti gegaran telefon bimbit tanda mesej daripada Zahidah.



“Ida nak ajak Zu rehlah kat Batang Kali esok. Tak seronok rasanya tak ajak Zu. Esok pukul 7.00 ya”
‘Rehlah? Apa benda tu? Bingkas Zulaikha mencapai kamus Bahasa Arab di rak. Satu- persatu helaian diselak dengan teliti.
‘Rehlah maksudnya riadahlah. Apalah aku ni, bahasa arab yang mudah-mudah ni pun aku tak faham. Dahlah tak faham, tak nak belajar pula tu. Bahasa Inggeris tu boleh pula aku nak belajar’.
…………………………..
Seperti dijanjikan, Zulaikha tiba di kolej kediaman Zahidah tepat pada pukul 7.00 pagi. Zahidah kelihatan telah menunggu Zulaikha di hadapan kolej kediamannya bersama sebuah beg sederhana.
Zahidah berpakaian kasual dengan t-shirt coklat hingga ke lutut dengan padanan seluar hitam yang longgar. Zahidah mendapatkan Zulaikha di dalam kereta. Zahidah bersalaman sebelum memperkenalkan dua orang teman di sampingnya.
“Kita berempat je ke Ida?”

“Taklah. Sampai dekat Rawang nanti, ada 4 orang lagi yang join..”

Perodua Kancil dibawa dalam kelajuan sederhana. Zulaikha berbual mesra dengan dua orang teman Zahidah, Zhafirah dan Husna. Keramahan mereka membuatkan Zulaikha tidak kekok.

Mereka sampai ke tempat yang dituju hampir pukul 9 pagi. Sebelum sampai ke kawasan tersebut, mereka harus melalui kawasan perkampungan orang asli. Di sepanjang jalan, kelihatan beberapa ekor anjing berlegar di kawasan perumahan masyarakat asli.

Zulaikha hanya memerhati pemandangan tersebut. Zulaikha yang memang fobia dengan anjing terpaksa berhati-hati memandu, khuatir haiwan tersebut melintas di jalan.

“Kawasan ni agak-agak ada yang muslim ke..?” Zhafirah menyoal tiba-tiba.

“Ada kot tapi hanya minoriti”, ujar Husna.

“Macam mana mereka nak hidup kalau persekitaran mereka ni banyak anjing..”

“Boleh je Zhafirah, tapi mereka ni kena berhati-hatilah dari segi kebersihan. Selagi anjing-anjing tersebut tak dibawa ke dalam rumah dan tak disentuh dalam keadaan basah, itu takkan mengganggu mereka..”, Zahidah menjawab pertanyaan Zhafirah. Zulaikha hanya menjadi pendengar setia.

“Aah. Husna teringat kisah ashabul kahfi tu. Kan dalam kisah tu ada diceritakan tentang anjing mereka yang menjaga keselamatan mereka dengan mengunjurkan kedua lengannya di pintu gua. Kiranya pelihara anjing tu tak salahlah ya?”

“Tak juga. Hukumnya harus. Bergantung pada tujuan kita tu. Kalau untuk menjaga keselamatan atau untuk penyelidikan dibolehkan.
Contoh macam yang biasa pihak polis buat kalau nak cari penjenayah tu. Pelajar yang ambil veterinar pun terpaksalah belajar dan kaji tentang haiwan-haiwan ni. Tapi kalau sekadar nak jadikan haiwan peliharaan tu, Ida rasa baik Husna bela kucing jelah.

Lagipun, malaikat takkan masuk ke dalam rumah yang ada anjing. Hadis riwayat Muslim dan Nasaie pun ada menyebut, barang siapa yang memelihara anjing akan berkurangan pahalanya dua qirat pada setiap hari melainkan anjing menjaga binatang ternakan, anjing buruan dan anjing menjaga tanaman.”

“Barulah Fira faham sekarang ni. Tengok tu, sibuk kita berborak, tak rasa dah sampai pun kat tempatnya”.

Perodua Kancil Zulaikha diparkirkan di petak parkir yang disediakan. Di sebelah perodua Kancil turut terparkir sebuah perodua Myvi milik teman Zahidah. Mereka mengeluarkan beberapa peralatan dari dalam kereta masing-masing. Zulaikha turut membantu.
Udara pagi yang segar membuatkan Zulaikha berasa nyaman dan tenang. Tidak ramai pengunjung yang tiba, mungkin masih awal pagi lagi. Mereka membawa segala peralatan ke kawasan air terjun.

Zahidah membentangkan tikar yang dibawa dari kolej. Sementara Aishah, Haura’, Atiqah dan Laila yang menaiki perodua Myvi tadi bertungkus lumus mendirikan khemah. Zhafirah dan Husna mencari kayu-kayu kering untuk dijadikan bahan bakar untuk barbeque mereka nanti. Zulaikha membantu mengeluarkan makanan yang telah mereka bawa sebelum sampai di situ.

Setelah segalanya selesai, masing-masing sibuk untuk turun mandi. Zulaikha tidak menyangka sama sekali bahawa mereka akan mandi di kawasan air terjun ini.

Fikirnya mereka hanya akan makan-makan sambil menikmati pemandangan yang indah di sini. Ternyata perkiraannya meleset. Sangkanya. mereka tidak akan mandi di kawasan seperti ini. Zahidah seakan menyedari apa yang difikirkan oleh Zulaikha hanya tersenyum.

“Islam itu kan tak membebankan. Asalkan kita masih lagi menutup aurat, boleh je kalau nak mandi di sini. Lagipun, kan tiada orang lain selain kita di sini. Zu tak nak mandi ke?”

“Hmm taklah Ida. Zu tunggu kat sini jelah. Lagipun Zu tak tahu pun yang kita nak mandi. Ingat duduk-duduk je..”, Zulaikha membalas.

Segan sebenarnya kerana Zahidah dapat membaca fikirannya. Memang Zulaikha tidak membawa pakaian lebih kerana sangkanya mereka hanya duduk-duduk menikmati keindahan di kawasan ini sahaja.
“Maaflah Zu. Ida lupa nak cakap semalam. Ingat Zu dah tau dah. Tak apalah. Ida temankan Zu kat sini jelah. Kesian Zu..”

“Eh tak apalah Ida. Zu ok je. Lagipun Zu memang tak nak mandi pun. Nak tenangkan fikiran kat sini je.”

“Tak apalah. Ida duduk dengan Zu. Sambil tu kita boleh panggang ayam tu sekali. Lepas ni dia orang naik mesti lapar tu…”

Zahidah mengambil ranting kayu yang dikumpul Zhafirah dan Husna sebentar tadi. Pemetik api diambil dan dicucuh ke ranting kering tersebut. Setelah api menyala, Zahidah mengambil arang yang telah dibawa. Zulaikha membantu dengan mengambil ayam yang telah diperam di dalam bekas.

“Ida, boleh Zu tanya sesuatu?”, Zulaikha membuka bicara sewaktu sedang menanti ayam masak.

“Zu ni sejak bila nak tanya kena minta izin ni. Tanyalah..” Zahidah yang mengipas bara arang kemerahan menahan asap yang memasuki mata. Zulaikha serba salah mahu bertanya.

‘Inilah masanya. Bila lagi nak tanya’, Zulaikha menghampiri Zahidah.

“Zu nak tanya macam mana Ida boleh berubah?” melantun ayat keluar dari bibir Zulaikha.
Zahidah memandang Zulaikha. Tersenyum cuma mendengar soalan yang terpacul dari bibir temannya. Dikesat matanya yang berair dengan hujung lengannya. Teman-teman yang lain masih sibuk bermain air tidak jauh daripada mereka.

“Panjang ceritanya Zu….”

*****BERSAMBUNG*****

Tiada ulasan: