HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

30 Oktober 2009

Bukan Yang Pertama


Hatinya dibalut kedamaian. Tiada resah yang mendampingi rasa yang kesekian lamanya gersang dengan rasa tenang. Lautan yang luas itu dipandang dengan mata beningnya. Tidak tercapai dek penglihatannya betapa agungnya kuasa sang Pencipta mencipta langit dan bumi tanpa tiang pemacak antara dua wasilah ini. Dahan pohon kelapa yang melayut ditiup angin bagai melambai-lambai dirinya. Panorama yang indah membuatkan hati yang sunyi mendamba teman hilang.

‘Tidak kami jadikan manusia dan jin itu sia-sia’




Kalimah Allah tidak lekang di bibirnya. Mengharap Rabb mendengar rintihan hatinya di kala malam hening ini. Tiada sesiapa melainkan dia dengan sang penciptanya. Titis-titis mutiara putih jatuh di tubir matanya. Esakan kecil bersama kalimah menyebut Yang Maha Agung masih lagi kedengaran memecah kesunyian malam.

Wahai tuhanku yang esa,
Bila kenangkan kahar-Mu,
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan siksa-Mu

Hamba-Mu rasa berputus asa
Siapakah dapat bersihkan diri
Dari segala dosa yang memburu
Setiap hari setiap ketika..

Bait lirik lagu nasyid itu menampan rasa dan jiwanya. Sangat mendalam maksud di sebalik sepotong lirik. Dari kejauhan masih lagi dilihat indahnya pantai yang masih terhindar dari cemaran noda. Putih pasir seakan dapat dilihat meski jauh jarak memisahkannya. Belum ternoda dek tangan-tangan insan yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi.

Ah, terasa cemburu dengan pantai yang indah itu. Keindahan yang tidak tercela itu membuatkan dirinya dibalut rasa cemburu. Cemburu dengan ketenangan pantai, cemburu dengan keindahnnya yang bisa menarik hati-hati untuk mampir di situ, cemburu dengan kegilaan ombak yang tidak pernah surut dan bosan menghempas badai ke tepian pantai.

Matanya tertancap pula pada dua ekor kucing di dalam kotak di tepi tingkap. Seminggu sudah, sang ibu melahirkan anak kucing itu, bertarung nyawa demi melihatkan zuriatnya ke bumi Allah ini. Dialah yang membantu sang ibu melahirkan anak kucing tersebut. Masih lagi segar di ingatan betapa kuatnya miauan sang ibu kucing tersebut.

Anak kucing itu lahir tidak cukup bulan. Hanya seekor yang berjaya diselamatkan. Yang lain mati. Ada yang keluar hanya bentuk seperti kucing yang belum cukup sifat. Namun, sang ibu masih lagi berusaha untuk mengeluarkan kesemua anak-anak kucingnya itu. Dialah yang membantu sang ibu kucing. Mengusap perlahan-lahan perut ibu kucing itu sehingga keluar kesemua anak-anak kucing itu.

‘Haiwan pun tahu sayangkan anaknya tapi kau!!’

Dia tersentak dari lamunan. Dipandang ke kiri dan kanannya. Tiada sesiapa.

‘Haha aku adalah engkau.  Suara ini lahir dari hati busuk kau!!’

Dia keliru. Bingkas bangkit dari kerusi. Menjauhkan diri daripada tempat yang dirasakannya berpenghuni.

“Kau takut?!  Takut dengan diri kau sendiri? Haha!”

Dia menekup kedua telinganya.tetapi suara itu tetap hadir.

“Tidak! Tidak, aku bukan pembunuh!”

***
“Bagaimana keadaannya doktor?”

“Dia mengalami tekanan perasaan yang tinggi. Sebolehnya jangan tinggalkan dia keseorangan. Jiwanya terlalu kacau.”

“Maksud doktor?”

“Temani dia. Berkemungkinan dia masih lagi trauma dengan kejadian yang dialami. Banyakkan bersabar melayani karenahnya.”

“Terima kasih doktor.”

Dia bingkas bangun. Tubuhnya terasa sengal-sengal. Persekitarannya kelihatan asing. Cuba bangun tetapi gagal.

“Aku di mana!”

Tiada sahutan. Yang ada hanya gemaan suaranya. Suasana gelap pekat tiada cahaya. Hatinya dibalut kebimbangan.

‘Aku tak mati lagi’, ditampar pipinya beberapa kali. Sakit. Cuba dipejamkan matanya. Berharap suasana akan bertukar rupa. Dijegilkan matanya. Serupa. Tiada perubahan.

“Tolong! Tolong aku! Tolong!”

Hampir kering tekaknya menjerit tetapi tiada sahutan. Dia meringkuk memeluk lutut. Menangis dalam keliru. Fikirannya kosong.

Dia mendongakkan pandangan. Terasa ada mata yang melihatnya. Hatinya kecut. Semangatnya terbang entah ke mana.

“Siapa!”
Diam. Matanya cuba mencari kelibat dalam kegelapan. Tiada.

“Siapa!”

Jeritannya nyaring. Sekonyong kelibat lembaga menjelma di hadapannya. Dia terkaku. Terkejut. Menjarakkan diri dari lembaga tersebut.

Mata lembaga itu tajam merenungnya. Dia kecut perut. Kakinya mengensot menjauhkan diri daripada lembaga itu.

“Kau takut?”

Lembaga itu semakin menghampiri. Wajahnya semakin jelas. Tompokan darah memenuhi ruang wajahnya. Matanya tajam merenung ke arahnya.

‘Ini semua mimpi. Ini semua mimpi!’ dipejam erat matanya. Berharap semua ini hanyalah khayalannya semata-mata.  Perlahan-lahan dibuka matanya.   

***BERSAMBUNG***

Tiada ulasan: