HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

04 Februari 2011

Apabila Sakit itu tiba...

Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Seminggu yang sudah, saya diserang batuk dan selsema yang teruk. Cuaca yang tidak menentu ditambah dengan perjalanan sepanjang minggu itu membuatkan imuniti tubuh kurang mantap berbanding sebelumnya. Panas tekak yang terlampau menyebabkan sakit kepala dan kehilangan suara (suara ratu rock). Diuji pula dengan pelbagai pembentangan yang perlu dilakukan menyebabkan penggunaan suara terpaksa digunakan semaksimumnya (memaksa bersuara dengan terpaksa). Baru sedikit nikmat sihat ditarik Allah  saya sudah menggelabah menahan sakit, bayangkan kalau nikmat yang lebih besar Allah tarik. Alhamdulilah, Allah beri mehna ujian untuk hapuskan dosa kecil saya di samping menyedarkan saya yang sering alpa ini.




4 hari sudah cukup untuk saya beristirahat dari melakukan rutin yang lain. Walaupun belum pulih sepenuhnya, hati teringin melihat anak-anak tanaman di halaman rumah. Sungguh terkejut dan di luar jangkaan, rupa-rupanya tanaman saya juga sakit tenat!


deretan sawi yang tidak bermaya
Daunnya layu tidak bermaya, tanah di sekelilingnya keras dan kering. Saya baru tersedar, rupanya sepanjang saya sibuk sehingga sakit, saya tidak pernah menginjak ke tanaman saya ini, memberi jirusan dan baja, jauh sekali untuk menggembur dan mencabut rumput liar di celahannya. Natijahnya, sayur-sayur saya semakin layu dan tumbesarannya terbantut.

Sambil menyesali kealpaan saya, saya duduk mencangkung, mencabut rumput, menggembur tanah dan memindahkan anak-anak pokok ke tempat yang lebih stabil. Begini jugakah iman sesorang sekiranya tidak dibajai dengan amalan, dihindarkan dari yang mungkar, natijah berbalik kepada individu itu juga seperti yang terjadi kepada tanaman saya.

Apabila mulai kontang dengan iman, hati mula digelap syaitan, langkah mula tidak tersusun ke jalan yang satu, penyakit wahan (cintakan dunia dan takutkan mati) mula menyelinap ke hati, merebak kepada perbuatan menyebabkan amalan sebagai abid terganggu dan akhirnya setelah balasan diterima akibat iman yang tidak dijaga baik barulah kita tersedar kealpaan dan mulai perjalanan iman semula. Tetapi perjalanan tersebut memerlukan lebih banyak pengorbanan dan kepayahan. Itupun sekiranya kita sedar, jika kita biarkan sahaja, bagaimana pengakhirannya? Jadilah seperti tanaman saya itu, jika saya berputus asa untuk kembali menggembur, memindah, membaja dan bermcam lagi, bisa sahaja tanaman itu mati kering dan terkulai seperti terkulainya iman kita.

Allah sedarkan saya satu perkara yang saya tidak sedar kepentingannya dengan perihal tanaman layu saya sahaja. Perkongsian untuk pembaca, moga iman kita juga seperti perkara yang kita sayang, tidak kiralah sama ada tanaman, hadiah, perhiasa dan pelbagai lagi.




Tiada ulasan: