HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

18 Mei 2009

tercemarnya keindahan islam


“Uteh, adik nak jalan-jalan kat hujung sana..”

Adik bongsuku menarik tanganku untuk mengikutnya ke hujung pantai yang kami susuri. Agak kepenatan melayan karenah si cilik ini. Si abang pula sibuk bermain dengan buaian. Aku hanya mengawasi adik lelakiku dari jauh sahaja. Sudah besar dan boleh berfikir tidak seperti adik bongsuku. Kami menyusuri laluan pejalan kaki yang telah disediakan. Adikku riang berjalan, kadang berlarian sambil ketawa. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa kadang membuatkan aku terpaksa menahan bajuku daripada rakusan sang angin yang mungkin sahaja boleh membuatkan pakaian yang menyaluti tubuhku melekat membentuk susuk tubuh.

“Uteh, tengok tu..”

Adik bongsuku menuding ke arah sepasang manusia yang berlawanan jantina sedang duduk di bawah bangku tempat yang kami lewati. Asyik sekali mereka bermadu kasih. Firasatku mereka ini bukannya sepasang suami isteri yang sah di sisi syara’ memandangkan si gadis masih lagi berpakaian sekolah! Ya, berpakaian sekolah. Petang yang indah ini telah dicemari dengan noda-noda dosa yang dipaliti oleh pasangan mungkar ini. Masya-Allah! Kubawa adikku jauh daripada pemandangan yang kurang disenangi itu. Adikku semakin jauh berlarian menuju ke hujung pantai. Aku berjalan pantas agar dapat seiringan dengannya.

Satu lagi pemandangan yang kurang enak aku lihat di hujung pantai. Sebuah kereta ‘rosak’ terpakir elok di hujung pantai. Dari kejauhan aku dapat lihat betapa asyik dan masyuknya sang lelaki mencumbui si gadis. Ternoda sungguh pemandangan petang ini. Aku kalihkan pandanganku daripada penglihatan yang boleh mengundang maksiat di mata dan hatiku. Selemah-lemah orang yang beriman, cukuplah sekadar membuat teguran di dalam hati, fikirku. Kalau aku mempunyai kekuatan, mahu saja aku hampiri mereka dan mengetuk tingkap kereta ‘rosak’ tersebut. Ingin aku teguri mereka, tentang dosa maksiat yang kini sedang mereka lakukan. Ah, aku tidak mempunyai kekuatan seperti itu. Masya-Allah, lemahnya aku sebagai hamba-Mu ini yang tidak mampu menghindari maksiat di depan mata. Tiba-tiba adikku berlarian ke arah kereta tersebut. Pasangan yang asyik masyuk terkejut dengan gangguan yang menghampiri mereka. Melayu, getusku. Kalau dah melayu tentulah Islam. Islam pada nama sahaja mereka ini. Astaghfirullahal’azim. Aku tundukkan pandanganku daripada memandang mereka. Tidak mahu kucemari mataku untuk melihat perbuatan tanpa segan silu mereka itu. Kucapai tangan adikku dan membawa jauh dari kawasan itu. Terbantut niatku untuk mengambil angin pantai pada waktu petang sebegini. Tercemarnya keindahan islam dengan perbuatan insan-insan alpa seperti ini. Ah, mengapa umat kini tidak malu untuk melakukan maksiat.

وَٱلَّـٰتِى يَأۡتِينَ ٱلۡفَـٰحِشَةَ مِن نِّسَآٮِٕڪُمۡ فَٱسۡتَشۡہِدُواْ عَلَيۡهِنَّ أَرۡبَعَةً۬ مِّنڪُمۡ‌ۖ فَإِن شَہِدُواْ فَأَمۡسِكُوهُنَّ فِى ٱلۡبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّٮٰهُنَّ ٱلۡمَوۡتُ أَوۡ يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً۬ (١٥) وَٱلَّذَانِ يَأۡتِيَـٰنِهَا مِنڪُمۡ فَـَٔاذُوهُمَا‌ۖ فَإِن تَابَا وَأَصۡلَحَا فَأَعۡرِضُواْ عَنۡهُمَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ ڪَانَ تَوَّابً۬ا رَّحِيمًا (١٦)
“…dan sesiapa Yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah sehingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu). Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana Sesungguhnya Allah adalah sentiasa menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya…”
(Surah an-nisa’:15-16)

Moga Allah akan memberi hidayah kepada pasangan yang kulihat sebentar tadi. Sesungguhnya hanya DIA-lah yang layak memberi hukuman yang setimpal kepada hamba-hamba-NYA. Aku tidak layak untuk menghukum perbuatan mereka itu. Aku juga bukan hamba yang maksum seperti para anbia’. Selintas aku terkenangkan perbincangan kami semasa majlis usrah semasa aku di kampus dahulu. Mak Cik Min, panggilan kami kepada seorang naqibah senior yang banyak membantu madh’uah sepertiku ini. Pada masa itu, Mak Cik Min menghuraikan tafsiran surah Az-Zalzalah.


يَوۡمَٮِٕذٍ۬ يَصۡدُرُ ٱلنَّاسُ أَشۡتَاتً۬ا لِّيُرَوۡاْ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٦) فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ ۥ (٧) وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا

“…pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!...”
(Surah Az-Zalzalah:6-8).

Gementar hati ini mendengar penerangan daripada Mak Cik Min. Segala amalan wa’ima sekecil zahrah pun akan dihitung. Menangis hati ini mengenangkan kembali apalah yang telah aku lakukan sepanjang hidupku ini. Adakah amalan-amalan aku ini akan diterima oleh-Nya. Berapakah pesanan Rasulullah yang telah aku sampaikan kepada saudara seagamaku? Astaghfirullahal a’zim. Sabda Rasulullah S.A.W :


“..Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat”...


Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1. Sedekah/amal jariahnya
2. Doa anak-anaknya yang soleh.
3. Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada
orang lain.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang menggunakan peluang yang diberi Allah ke jalan kebenaran dan rugilah bagi orang-orang yang mengotorinya dengan perbuatan yang mungkar. Semoga aku dan umat Islam kini termasuk di dalam golongan orang-orang yang beruntung.

Tiada ulasan: