HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

23 Disember 2010

Road to Singapore

MUKADDIMAH

Alhamdulillah, akhirnya setelah genap enam bulan pemergian kami ke Kota Singa dalam program ‘Road to Singapore’, baru kini saya dapat memberikan sedikit perkongsian perjalanan kami yang memberi pelbagai ibrah kepada diri dan setiap hati yang bertandang ke negara jiran ini. Sibuk dengan aktiviti kuliah dan kehidupan seharian membantutkan perjalanan catatan saya ke Singapura. Moga catatan perjalanan saya dan teman-teman sedikit sebanyak memberi manfaat kepada sesiapa yang menjelajah ke blog saya ini. Selama dua minggu kami berkampung di Sekolah Rendah Islam Al-Hira’ di Batu Belah sebelum disudahi dengan program R2S ini. Pelbagai perkara yang menarik yang kami perolehi semasa pengurusan pas perjalanan kami yang menghadapi sedikit kesukaran yang menyebabkan perjalanan kami terpaksa dilewatkan daripada tarikh yang sebenarnya.




HARI PERTAMA.

Jam 5 pagi, melepasi tol Skudai, kenderaan yang berkonvoi dari Selangor tiba ke destinasi seterusnya iaitu di Bandar Skudai. Di Bandar Skudai, saya serta empat peserta yang berasal dari Johor telah menunggu dengan penambahan sebuah lagi kenderaan Estima untuk keselesaan peserta R2S.

Kami meneruskan perjalanan mencari stesen minyak yang berdekatan untuk memenuhi bahan bakar penggerak kepada kenderaan kami. Minyak diisi dengan segera di Stesen Petronas Bandar Baru Uda. Minyak diisi, tayar dipam, mudah-mudahan perjalanan selepas ini lancar hendaknya, insyaallah. Berhenti solat Subuh di Masjid Jamek Bandar Baru Uda cukup menenangkan. Subuh terasa indah. Kehadiran jemaah yang ramai di masjid tersebut menimbulkan rasa kagum di benak kami. Usai solat, para jemaah bertadabbur bersama sementelahan kami meneruskan agenda yang seterusnya.

Sesi taklimat sebelum perjalanan ke Singapura diberikan oleh ketua program kami, saudara Abdullah Omar di hadapan masjid bersaksikan matahari yang tersenyum malu di balik kegelapan awan yang mulai sirna. Kami berpecah mengikut pas lawatan kumpulan yang dibuat tempoh hari bagi memudahkan pengurusan di pihak imigresen. Perjalanan kami diteruskan dengan tawakal kepada Ilahi agar perjalanan ini selamat tiba di Kota Singa.

Melewati jalan demi jalan, akhirnya perjalanan kami tiba ke destinasi pertama iaitu ke rumah pasangan zaujan yang merupakan penyambut ketibaan kami merangkap pemandu peancong kami di Kota Singa. Saya sempat merakamkan kediaman apartmen di Kota singa yang cukup menarik hati.

Kepadatan penduduk ditambah dengan ruang yang tidak mencukupi telah memberi ilham kepada rakyat Kota Singa dengn membuat penyidai yang unik. Lihat saja gambar yang sempat saya rakamkan. Pasangan zaujan Singapura membawa kami ke destinasi seterusnya iaitu ke Masjid Kota Singa Usai solat dan makan malam, peserta R2S dibawa ke bilik kuliah pelajar Siglap untuk mendengar perkongsian daripada badan-badan dakwah bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan pelajar di Singapura. Kami diberi penerangan berkenaan Tertiary Muslim Students Network (TMSN) yang dibentangkan oleh pelajar muslimah di sana. Objektif penubuhan TMSN ialah bagi membantu dan membina individu muslim yang kendiri. Jika di Malaysia adanya Kelab Rakan Siswah Islah Malaysia (KARISMA) –hanya memberi satu daripada berpuluh organisasi-dalam menggerakkan dakwah dalam kalangan pelajar, di Kota Singa ini, TMSN yang boleh digelar bayangan kepada aktiviti organisasi dakwah dalam kalangan pelajar daripada segi tindakan dan pergerakan.


Pembentangan seterusnya diteruskan oleh Saudara Nailul Hafiz yang merupakan pengerusi Masjid Kampung Siglap. Beliau menerangkan berkenaan Personnel Perspective, dan landskap dakwah di Singapura bermula dengan sejarah dan sistem politik di Singapura dari era bersama Tanah Melayu dan keluar dari gagasan Tanah Melayu. Beliau juga menerangkan bagaimana Singapura yang dahulunya tidak dipandang boleh membangun dan dikenali sehinggi kini menerusi perancangan yang dijalankan oleh pemerintah. Mendengar penerangan daripada Saudara Nailul membuatkan saya teringat ayat dalam QS As-Saff ayat 2. Frasa kejahatan yang terancang dapat mengalahkan kebaikan yang tidak terancang menerpa ke benak saya. Bukanlah saya hendak mengatakan sistem pemerintahan di Kota Singa ini sebagai ‘kejahatan terancang’, tetapi saya menganalogikan frasa tersebut dengan perbezaan sistem pemerintahan di antara Singapura dan juga tanah air saya.

Bait kata yang diucapkan oleh Saudara Nailul mengingatkan saya dengan mas’ul di lokaliti. Penuh dengan ilmu di dada dan pengetahuan yang dipayungi dengan sifat kerendahan hati. Kagum saya melihat keupayaan beliau menjawab tiap patah persolan yang dikeluarkan oleh peserta. Pandangan beliau berkenaan dengan penerusan dakwah pada masa akan datang dengan kaitan teori dan praktikal yang dilakukan oleh As-syahid Imam Hassan Al-Banna iaitu Ikhwanul Muslim dan juga Abu A’ala Al- Maududi yang membawa Jamaah Islamiah.

Jika kita menelusuri sejarah peradaban dan kegemilangan Islam dengan kelahiran tokoh-tokoh terbilang seperti Sultan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayyubi dan ramai lagi kita dapat melihat bagaimana mahu kelahiran tokoh-tokoh tersebut yang memerlukan pentarbiyahan fikrah yang lama. Ungkapan, “setiap 100 tahun, Allah akan mengutuskan seorang tajdid yang akan membantu menaikkan syiar Islam’. Hal ini terbukti dengan kehadiran tokoh-tokoh agung terdahulu. Beliau berkongsi teori yang dikaji daripada beberapa rakan berkenaan dengan kata-kata tersebut yang mana kajian telah dijalankan ke atas pendokong Ikhwanul Muslim dan Jamaah Islamiah dan juga kajian selepas kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Jika dilihat, selepas kejatuhan Uthmaniyyah, bagaimana negara-negara yang mendasari dan memegang kuasa dunia seperti Rusia, Amerika Syarikat yang memegang tampuk pemerintahan. Janji Allah yang disebutkan tadi boleh dianalogikan bukan sekadar lahirnya seorang tajdid tetapi lahirnya fikrah yang akan membentuk mujahid-mujahid yang akan menjadi ‘tajdid’. Bukti yang nyata lahirnya Ikhwanul Muslim dan Jamaah Islamiah yang mempunyai misi yang sama, membangunkan fikrah setelah kejatuhan Empayar Uthmaniyyah.

Walaupun kedua-dua ideologi ini lahir dari benua yang berbeza dan berbeza daripada pelbagai aspek, namun mempunyai misi dan tujuan yang sama. Sebuah buku yang disebutkan oleh beliau (saya lupa judul) telah mengeluarkan kenyataan tentang kebarangkalian dalam tempoh beberapa tahun lagi, kuasa besar dunia, (AS) akan tumbang seperti tumbangnya Empayar Uthmaniyyah menguatkan lagi hujah beliau berkenaan teori yang sedang dikaji. Mungkin bahasa saya di sini agak mengelirukan tetapi apa yang dapat disimpulkan, sejarah bakal berulang dan ingatlah bait aksara ini, ‘Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum selagi mana mereka tidak mahu berubah ke arah itu.’

HARI KE 2.


Usai sarapan, peserta R2S dibawa ke Nanyang Teknological University (NTU) yang merupakan salah sebuah pusat pengajian tinggi di kota singa ini. Perjalanan mengambil masa kira-kira 1 jam lebih perjalanan daripada tempat penginapan kami di Siglap. Saya yang agak keletihan dan kelelapan dalam perjalanan tersedar setelah tiba di NTU kira-kira pukul 11 pagi. Pemandangan daripada luar begitu mengasyikkan saya dengan struktur bangunan yang sangat menarik hati. Salah seorang pelajar yang menjadi penyambut tamu memberikan sedikit maklumat berkenaan NTU yang mempunyai sebanyak 6 buah kolej, antaranya kolej pendidikan, kolej seni dan reka, kolej kejuruteraan, dan beberapa kolej lagi yang tidak sempat saya telusuri. Sewaktu kedatangan kami di sini, pelajar-pelajar NTU masih lagi dalam tempoh cuti semester.

Kami di bawa ke dewan kuliah untuk agenda perkongsian di antara pelajar di sini dengan pelajar di Malaysia. Pelajar NTU diwakili oleh saudara Falah, pelajar dari Indonesia yang menuntut di NTU. Beliau memberi penerangan tentang organisasi dakwah yang bernaung secara profesional dalam NTU yang dikenali sebagai Nanyang Technological University Muslim Society (NTUMS). Menarik tentang organisasi ini ialah bagaimana gigih dan tekun mereka di NTU untuk membina program dakwah di sini. Walaupun mereka dikategorikan sebagai golongan minoriti dengan sistem pemerintahan yang perlu dipatuhi, saya berasa perkara tersebut bukan menjadi faktor penghalang kepada pelajar-pelajar di sini untuk menyebarkan dakwah dalam kalangan pelajar di NTU. Aktiviti yang dibawa oleh mereka yang sempat saya fokuskan semasa pembentangan mereka ialah aktiviti kemanusiaan di negara-negara ketiga seperti di Kemboja, Vietnam dan pelbagai lagi. Setiap tahun sebanyak 20 perancangan termasuk aktiviti kemanusiaan yang dijalankan oleh NTUMS.

Usai pembentangan daripada saudara Falah, delegasi daripada Malaysia yang diwakili oleh saudara Nasim membuat sedikit perkongsian berkenaan pergerakan persatuan dakwah yang dijalankan di Malaysia. Tentang organisasi, Saudara Nasim berkongsi pengalaman kami selama 2 minggu bermukhayyam di Batu Belah dengan menyiarkan montage yang diambil sepanjang program berjalan. Seterusnya, Pengerusi KARISMA Nasional, Saudara Abdullah Omar berkesempatan menerangkan organisasi dakwah, KARISMA, sejarah serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh organisasi. Usai pembentangan kira-kira jam 12.20 tengah hari, kami dibahagikan kepada empat kumpulan, 2 kumpulan ikhwah dan 2 kumpulan akhawat untuk melawat kawasan di sekitar NTU.


Perjalanan hampir 2 jam di sekitar NTU begitu menyeronokkan. Saya dapat melihat struktur bangunan yang tersusun dan kawasan-kawasan aktiviti yang begitu canggih dan bersistematik berbanding di kawasan pengajian saya (Kawasan pengajian saya hanya dilitupi bukit bukau yang sebahagiannya telah ditarah). Antara kawasan yang begitu saya kagumi ialah laluan di tingkat atas yang menghubungkan setiap bangunan yang dijadikan tempat bersolat jemaah tarawih setiap kali Ramadhan menjelma. Walaupun berada di lingkungan minoriti yang mengamalkan ajaran Islam, namun NTUMS mampu memanfaatkan ruang yang sedia ada memandangkan surau yang disediakan amat sedikit dan kecil.


Saya juga berkesempatan menelusuri kawasan-kawasan seperti di perpustakaan kolej Senireka dan Media yang begitu canggih dan bersesuaian dengan ruang lingkup pengajian. Akhir sekali, kami menaiki bas khas dalam NTU untuk menuju ke lokasi awal kami tiba. Usai ucapan dan penyampaian cenderahati oleh pengerusi NTUMS bersama pengerusi KARISMA, rombongan kami bergerak menuju ke kawasan pantai Siglap yang terkenal di Kota Singa ini.

Hampir jam 4 kami tiba di Pantai Siglap. Hampir setiap perjalanan, mata saya tidak lari daripada melihat kemewahan kapal-kapal yang bertamu di pantai Siglap. Satu yang saya dapat lihat di antara perbezaan kawasan pantai di Singapura dan Malaysia ialah kemanfaatan yang digunakan dengan keindahan pantai kurniaan Rabb ini. Mungkin kerana kuantiti yang sedikit cuma membuatkan kualitinya lebih tinggi berbanding di Malaysia. Tersenyum cuma saya mengenangkan dua pantai yang berasal dari lautan yang sama tetapi berbeza situasi. Sewaktu menuju ke Singapura, perjalanan kami perlu merentasi lautan yang memisahkan di antara Johor dengan Kota Singa yang diberi nama Pantai Stulang. Jika dahulu sewaktu saya masih di alam kanak-kanak, saya dapat mandi di pantai Stulang Laut yang masih lagi kebiru-biruan tapi kini yang dilihat hanyalah air yang keruh dan tercemar. Apabila tiba di Kota Singa, saya melihat situasi yang berbeza dengan suasana yang berlaku di Pantai Stulang Laut. Walaupun mempunyai kapal-kapal yang berselerakan di kedua-dua perairan ini, nyata Pantai Siglap lebih menarik hati dan mendamaikan berbanding Pantai Stulang Laut yang tidak sepertinya.


Saya dan rombongan R2S yang lain menelusuri laluan menuju ke gerai-gerai yang disediakan di sepanjang pantai. Kami memilih gazebo yang dapat menempatkan keseluruhan peserta akhawat dan juga peserta ikhwah (berlainan gazebo). Urus setia program menempah makanan di gerai makan yang berdekatan dan alhamdulillah, menu yang dihidangkan walaupun nampak sama dengan menu di Malaysia (nasi goreng), menikmati makanan dalam suasana pantai Kota Singa begitu menyelerakan. Usai makan, kami diberi kesempatan berjalan di sekitar pantai. Saya dan peserta R2S yang lain sempat bermain di gigi pantai sambil cuba-cuba mengukir nama di pepasir yang masih lagi tidak tercemar. Pukul 4.45 petang kami bergerak pulang ke kawasan kediaman kami di Ma’had Tahfiz Siglap yang tidak jauh daripada pantai yang kami jejaki.


Pada malamnya pula, kami dihidangkan dengan perkongsian dakwah di Singapura oleh Saudara Khairul Rijal yang merupakan seorang pengajar di salah sebuah sekolah di Kota Singa. Sedikit perkongsian daripada beliau yang sempat dicatat oleh saya.


MALAY MUSLIM ORGANIZATION 
1. Majlis ‘ugama Islam Singapura (MUIS)
2. Mendaki
3. Pergas
4. Perdaus (persatuan dewasa singapura)-dikenali sebagai pertubuhan yang membanteras ajaran sesat
5. Pertapis
6. Muhammadiyah
7. Association of muslim Profesional (AMP)
8. Jamiyah-MMO paling lama di singapura, bertujuan membina bank islamic religion di Singapura.

9. 4PM-sayaan, pantun sajak.
10. Fellowship of muslim student association.


TERTIARY INSTITUTION 
1. Nanyang Technological University Muslim Society (NTUMSS).
2. National University Of Singapore Muslim Society (NUSMS).
3. Singapore Institute Of Managemant Malay Cultural & Muslim Society (SIMMCMS).
4. Ngee Ann Polytechnic Muslim Student Society (NPMSS).
5. Temasek Polytechnic Nur Ikhwan (TPNI).
6. Nanyang Polytecnic Muslim Student Network (NPMSN).
7. Singapore Polytechnic Malay Language & Cultural Club (SPMLCC).


HARI KETIGA.

Hari ini merupakan hari terakhir delegasi Malaysia berkampung di Kampung Suglap. Habis mengemas pakaian, kami peserta akhawat membuat sedikit taaruf bersama makcik-makcik yang merangkap sebagai pengiring kami ke Singapura. walaupun tempoh tiga minggu perkenaloan kami di Misi, namun taaruf pada kali ini lebih bermakna memandangkan pelbagai persoalan yang kami dapat rungkaikan terutama sekali berkenaan isu Baitul Muslim. Maklumlah, makcik pengiring kesemuanya merupakan mantan pasangan yang bertemu dalam sistem Baitul Muslim dan Makcik Tun merupakan salah seorang yang begitu penting dalam sistem Baitul Muslim. Usai sessi taaruf, sedikit taklimat telah diberikan oleh Ustaz (lupa nama) yang merupakan insan yang sangat berjasa sewaktu rombongan kami ke Kota Singa. Kami bergerak menuju ke destinasi pertama untuk hari terakhir kami iaitu menikmati Murtabak Singapura di Singapore Zam-Zam. Usai menikmati sarapan pagi yang begitu enak, perjalanan kami diteruskan menuju ke Sultan Mosque dan kawasan sekitarnya. Peserta dibenarkan untuk membeli barangan kenang-kenangan di gerai berhampiran. Kami bertolak pulang ke Malaysia selepas menunaikan solat Zohor di Masjid Sultan.


PENUTUP.

Alhamdulillah, akhirnya tamat sudah siri jurnal perjalanan kami ke Singapura, walaupun terdapat beberapa pengalaman dan perkongsian yang tidak saya masukkan dalam jurnal ini. Akhir kalam, semoga perkongsian ini membantu pembaca untuk lebih mengenali gerakan dakwah di Negara Singapura ini.

*Tidak sia-sia ke hulur ke hilir bersama komputer riba yang uzur :)

Tiada ulasan: