HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

07 Januari 2011

~Projek Tahun Baru~

Bismillahirahmanirrahim..

Alhamdulillah, dengan izin-NYA, dapat dicoretkan sedikit perkongsian program Tamrin Pelapis yang dijalankan pada 1 & 2 Januari 2011. Tamrin ini dihadiri oleh para pelapis nuqaba' sekitar Shah Alam [Uitm Shah Alam, Uitm Puncak Alam, MSU, Politeknik, Unisel ]. Berikut merupakan sedikit tentatif berkenaan program.



Hari Pertama.
Peserta tiba di Masjid Negeri Shah Alam seawal jam 7.15 pagi sebelum bertolak menuju ke Kem Herba Sungai Congkak. Setelah kesemua peserta telah mendaftar dan dikenalpasti sebagai ahli, perjalanan dimulakan dengan menaiki sebuah bas yang disewa khas serta beberapa buah kenderaan tambahan.

Hampir 1 jam perjalanan, kami tiba di Kem Herba yang terletak berhampiran dengan Sungai Congkak. Aliran sungai yang begitu mendamaikan membuatkan peserta dan barisan AJK program tidak sabar untuk memulakan aktiviti. Setiap peserta dijamu dengan menu nasi lemak yang berkhasiat (kurang lemak pada nasi) dengan sebungkus teh suam beserta air mineral. Peserta diberi waktu untuk menghadam makanan di samping melakukan solat sunat dhuha sebelum aktiviti seterusnya dijalankan.

Menanti program bermula, peserta akhawat sempat berta'aruf secara ringkas dan berkenalan dengan peserta di setiap lokaliti. Usai sesi ta'aruf, program dimulakan dengan slot pengisian mental yang pertama iaitu, Konklusi Ini Sejarah Kita (ISK) yang disampaikan oleh Saudara Faisal. Beliau merupakan pelajar jurusan kejuruteraan elektrik di Australia dan sedang menghabiskan waktu cutinya di Malaysia.   

SLOT 1: Pengisian Konklusi ISK .





Konklusi ISK merupakan kesinambungan daripada slot sebelum ini iaitu ISK, justeru itu Saudara Faisal hanya menyentuh sedikit bayangan slot ISK untuk diserapkan ke dalam slot Konklusi ISK ini. Beliau menerangkan tentang dua cabang matlamat hidup yang wajib dipasakkan ke dalam diri iaitu matlamat ubudiyyah dan juga matlamat khalifah beserta dengan penerangannya. 
Ubudiyyah.
  • Merangkum kehidupan seharian seperti solat, ibadat lain, makan, tidur, kendiri (hanya menyebut beberapa perkara).
Khalifah.
  • Matlamat untuk menjadi pengganti Rasulullah, melalui petunjuk (Al-Quran):
  • Dalam Al-Quran terdapat 2 surah yang diturunkan secara berasingan iaitu di Makkah dan Madinah.
  • Makkah- Surah yang diturunkan berkenaan dengan akidah, dan diturunkan sebelum hijrah.
  • Madinah- Surah yang menjelaskan tentang hukum fiqh dan diturunkan selepas hijrah.
Konklusi bagi slot pertama yang dapat difahami ialah untuk pembinaan kepada matlamat yang kedua (matlamat khalifah) dan 7 tangga menuju puncak memerlukan asas pembinaan pasak diri yang kuat dan jitu (matlamat ubudiyyah) agar tidak mudah goyah dan rapuh. Analogi pembinaan sebuah piramid memerlukan tapak yang kukuh dan kuat sebelum pembinaan peringkat yang seterusnya untuk sampai kepada puncak piramid.



SLOT 2: Ghulam Dakwah.
Slot ke-2 disampaikan usai makan tengah hari dan solat zohor berjemaah. Slot ini disampaikan oleh Saudara Faisal dengan menggunakan pendekatan dua hala di antara penyampai dan peserta. Slot ini menganalogikan  hadis sahih yang berkisar tentang kisah ghulam dakwah dan arketaip atau persamaan dengan senario pada masa kini. Saudara Faisal juga menekankan konsep ibadah dan ilmu yang mana kedua-dua aspek ini memerlukan perhatian yang sepenuhnya oleh para duat.



SLOT 3: LDK
Slot seterusnya berlangsung usai solat Zohor yang mana slot peserta akhawat dan ikhwah dijalankan secara berasingan. Slot LDK merupakan slot perkongsian input yang diperolehi daripada peserta sepanjang 2 slot yang terdahulu iaitu Slot Konklusi Isk dan slot Ghulam Dakwah. Setiap peserta diberi mandat untuk mengemukakan pandangan dan ilmu yang diperolehi untuk dikongsi dan dibincangkan bersama oleh setiap fasilitator kumpulan yang telah dilantik. Slot diakhiri dengan aktiviti riadah bermandi-manda di sungai Congkak yang tohor (paras pinggang dalam posisi duduk =).

SLOT 4: Dakwah Fardhiah.
Usai solat dan makan malam, slot seterusnya iaitu DF yang disampaikan oleh Saudari Aisyah. beliau menerangkan sedikit takrifan daripada sudut bahasa, istilah dan analogi berkenaan DF serta buku rujukan yang boleh menjadi panduan kepada duat untuk melakukan DF (Bagaimana Menyentuh Hati oleh Abbas As-Sisiy & Dakwah Fardhiah oleh Mustafa Masyhur). Teori berkenaan DF yang telah disampaikan oleh beliau dipraktikkan menerusi lakonan peserta setiap kumpulan yang diselenggarakan oleh Saudari Azreen. Setiap kumpulan dikehendaki melakukan lakonan DF berdasarkan situasi yang telah diberi oleh AJK program. Setiap lakonan yang dijayakan diakhiri dengan pandangan dan cara penyelesaian yang perlu ditangani sekiranya menghadapi situasi tersebut di lokaliti.



HARI KEDUA
SLOT 5: Tazkirah Outdoor. 


Seawal jam 4 pagi peserta telah bersiap untuk qiamullail berjemaah dan solat subuh. Usai solat subuh, peserta dibawa menuju ke anak sungai dan diarahkan untuk meredah air yang dingin dengan hanya berkaki ayam. Tazkirah outdoor tersebut disampaikan oleh Saudara Aminuddin usai aktiviti bermain air sungai. Perjalanan meredah sungai dan mengelak batu-batu kecil beserta rintangan deras sungai semiotik kepada perjalanan hidup yang penuh dengan pelbagai halangan dan cabaran dan segala permasalahan tersebut perlu ditangani dengan sifat TAQWA.

SLOT 6: Resolusi.
Slot terakhir sebelum program tamat adalah Resolusi daripada setiap kumpulan lokaliti. Setiap peserta dibantu oleh PIC lokaliti perlu membuat resolusi dan SP bagi mencapai matlamat di lokaliti masing-masing. Perancangan tersebut perlu dilaksanakan secara praktikal di setiap lokaliti daripada bermulanya kuliah (Januari) sehingga ke hujung semester (April) bagi melihat perjalanan SP tersbeut sama ada berjaya diaplikasikan ataupun tidak dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya tidak berjaya dilaksanakan.


Serba sedikit catatan yang sempat diloretkan sepanjang program Tamrin Pelapis yang bertujuan memantapkan mental para pelapis yang berpotensi agar terus tsabat dan kukuh di jalan Dakwah.



Tiada ulasan: