HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

30 Ogos 2009

sengaja kita dipertemukan (siri 7)


SIRI 7


Peperiksaan semester akhir baru sahaja tamat. Kebanyakan pelajar sibuk menguruskan kepulangan ke kampung sempena cuti semester yang berlangsung. Hanya tinggal beberapa pelajar yang tidak pulang kerana beberapa perkara.


Nurjiha mengemas beberapa buku nota kuliah sepanjang semester yang dilalui lalu dimasukkan ke dalam kotak. Esok, seawal jam 8.00 pagi dia harus bertolak dari kolej kediaman untuk pulang ke kampung. Cuti semester tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk bersama keluarga di kampung.


Dipandang sekilas pada meja Mashitah. Masih penuh terisi dengan barang peribadi milik sahabatnya itu. Kebiasaanya Mashitahlah orang pertama yang akan pulang sebelum Nurjiha.


Nurjiha mengambil sebuah kotak sederhana bercorak bunga-bunga kecil. Kotak di tangannya itu terlepas. Segala isi di dalamnya terhambur keluar daripada kotak. Nurjiha mengutip satu persatu isi yang terjatuh.


Mata Nurjiha terpaku pada gambar di pegangannya. Gambar yang membuatkan nafasnya berhenti berdenyut. Direnung gambar tersebut. Gambar yang menyimpan seribu kenangan dalam coretan hidupnya.


***


“Tak ada orang yang boleh ambil gambar kitalah..”


“Ha.. Adik mari sini sat..”


Kanak-kanak lelaki yang sedang bermain basikal tidak jauh daripada mereka bergerak hampir. Ragu-ragu dengan panggilan yang menggamitnya tadi.


“Adik boleh tolong abang tak? Ambilkan gambar abang dengan kakak kat sini boleh?”, Shahreez tersenyum sambil menunjukkan kamera di tangannya kepada kanak-kanak tersebut.


“Nanti abang bagi upah..”


“Mak kata lelaki dengan perempuan tak boleh pegang tangan macam ni..”


Shahreez terkesima dengan jawapan kanak-kanak tersebut. Genggaman tangannya di jemari Nurjiha dilepaskan. Nurjiha kemerahan malu dengan teguran dari seorang kanak-kanak.


“Abang dengan kakak ni dah kahwinlah dik.. cuba tengok cincin kat jari kakak ni”.


Kanak-kanak tersebut mengambil gambar Shahreez dan Nurjiha seperti yang disuruh. Nurjiha yang masih terasa malu dengan teguran kanak-kanak tersebut sedikit enggan bergambar.


Shahreez bersikap selamba dengan mendekatkan dirinya di sebelah Nurjiha. Tangan kanannya rapat memeluk pinggang Nurjiha supaya hampir kepadanya.


“Abang, malulah..”. Nurjiha meluahkan rasa tidak senangnya dengan sikap Shahreez sebentar tadi.


Shahreez hanya tersenyum nakal. Matanya menghantar pemergian kanak-kanak yang membantu mereka tadi.


“Nak buat apa malu, kan abang dah cakap kita dah kahwin tadi..”


“Tak baik menipu budak kecil tau..”


“Ok, lepas ni abang tak buat lagi. Tapi pandailah adik tu tadi kan. Kecik-kecik dah tahu benda yang salah. Tengok, gambar yang dia ambil pun cantik tau”, dihulur kamera kepada Nurjiha.


“Mestilah dari didikan mak dan ayahnya tu..”


“Sayang, nantikan bila kita ada anak, abang nak anak kita tu lelaki dan bijak macam adik tadi tu…”


“Kalau perempuan?”


“Kalau perempuan mesti cantik macam ibunyalah..”.


Shahreez mencuit hujung hidung Nurjiha. Sengaja mengusik buah hati di hadapannya. Rasa seronok sekali menyakat Nurjiha yang akan kemerah-merahan wajahnya apabila disakat oleh Shahreez.

 
***


Tok! Tok! Tok!


Lamunan Nurjiha terhenti dengan bunyi ketukan di pintu biliknya. Gambar yang berada di genggamannya disimpan di dalam kotak. Berjalan menuju ke pintu biliknya.


Tombol pintu bilik dipulas. Pintu dikuak untuk melihat empunya tubuh yang mengetuk pintu tadi. Sesusuk tubuh berdiri tegak di hadapan Nurjiha. Nurjiha yang tidak menyangka dengan kedatangan tetamu di hadapannya tergamam seketika. Tidak disangka tetamu di hadapannya mencari jejaknya hingga ke biliknya.


 
***BERSAMBUNG***


Tiada ulasan: