HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

30 Ogos 2009

sengaja kita dipertemukan (siri 6)


SIRI 6

Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah,
Supaya kita dapat menjadi manusia
yang hebat jiwanya.


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah,
Supaya kita lebih faham bahawa
cintanya yang terbaik hanya ada bersama Allah


Dap!!

Sebiji bola berbelang biru putih jatuh di sisinya. Lamunannya terhenti. Matanya mencari arah datangnya bola tersebut.

Dari jarak 50 meter kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berlari anak ke arahnya. Kanak-kanak tersebut berusia sekitar lima tahun pada anggarannya. Langkah kaki anak kecil itu diperlahankan. Menggigit bibir memandang bola yang berada di peganganya.

Dia tersenyum cuma. Dilambai tangannya meggamit anak kecil itu kepadanya. Anak kecil itu tersipu malu sebelum bergerak perlahan ke arahnya.

“Adik siapa nama?”

“Muaz..”

“Comelnya nama. Nak bola tak?”

Muaz mengangguk senyum. Kelihatan dua lekuk lesung pipit di sebalik seulas senyuman si kecil itu Huluran tangan kecil itu kepadanya menyentuh sanubari. Ditarik perlahan tangan si kecil lalu didakapnya. Anak kecil itu hanya diam tidak mengerti dipelukannya. Dielus lembut ubun-ubun anak kecil itu.

“Nah bola Muaz, jangan jalan jauh-jauh tau, nanti ibu cari..”

Muaz mengambil bola yang dihulur. Mengucapkan terima kasih sebelum berlari menuju ke arah tempatnya bermain sebentar tadi.

Mata beningnya hanya memandang dari kejauhan anak kecil itu berlari mendapatkan sepasang suami isteri. Si ayah mendakap si kecil sementelahan si ibu membelai si kecil di sisi ayah. Mereka bergerak meninggalkan pantai yang masih setia menanti ombak meski remang senja mencium ufuk.

Matanya masih memerhati langkah keluarga bahagia itu hingga mereka hilang di pandangan. Matanya dikalih ke dada langit yang semakin gelap. Pinggir pantai yang diserkup remang senja sungguh mengasyikkan pandangan.

Pandangan dijatuhkan ke arah perutnya yang membulat penuh di balik gaun labuh. Diusap perlahan-lahan kandungannya itu dengan helaan yang panjang. Setitis mutiara putih gugur membasahi gaun yang dipakainya. Diseka perlahan air mata itu.

Keheningan hatinya disapa sentuhan lembut di bahunya. Dikalihkan pandangannya. Sebuah senyuman terpamer di bibir membuang kesedihan yang singgah di hatinya sebentar tadi. Kicauan burung begitu asyik mengajak kawanan yang lain pulang ke sarangnya dan setia pantai masih lagi menanti badaian ombak yang tidak pernah surut dari lautan.

***



Shahreez duduk berteleku di sudut tepi surau. Kebanyakan jemaah yang lain beransur meninggalkan surau kecuali beberapa orang yang masih khusyuk beribadat. Shahreez duduk tidak berkutik.

Matanya tertancap pada himpunan buku yang tersusun kemas di balik almari kaca di sisinya. Diambil satu secara rawak. Dibuka muka pertama mencari bab yang ingin dibaca. Diselak helaian demi helaian buku mencari muka surat yang ingin dibaca.

Luqman yang baru sahaja habis solat sunat ba’diah berpaling mencari kelibat Shahreez. Tersenyum melihat Shahreez yang khusyuk membaca di sudut tepi surau. Berjalan menuju ke arah Shahreez yang tidak menyedari kehadiran Luqman.

Luqman menepuk lembut bahu Shahreez. Terkejut dengan kedatangan Luqman, Shahreez menutup buku yang dibacanya tadi. Malu sekiranya Luqman mengetahui apa yang sedang dibacanya tadi. Luqman sekadar tersenyum melihat tindakan Shahreez.

“Jom, aku nak bawa hang pi ronda-ronda..”

“ok”

Shahreez mengikuti langkah Luqman. Luqman menunggang motosikal Honda EX5nya menuju keluar pintu pagar kolej. Shahreez yang membonceng di belakang hanya mengikut arah yang dituju oleh Luqman.

Luqman memberhentikan motor di hadapan sebuah rumah besar. Motor Honda EX5nya diparkirkan di tepi rumah tersebut. Seorang lelaki separuh abad muncul dari dalam rumah dan menuju ke arah mereka berdua. Setelah bersalaman dan berkenalan dengan Shahreez, mereka bersama-sama masuk ke dalam rumah. Shahreez yang masih lagi keliru hanya mengikut rentak Luqman dan lelaki berusia itu.

***BERSAMBUNG***

Tiada ulasan: