HALAMAN UTAMA PROFIL DIRI

Peneman setia

30 Ogos 2009

sengaja kita dipertemukan (siri 5)



SIRI 5



... لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا
 
… Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita…" (At-Taubah:40)



Kalam Allah itu diulang berkali-kali di bibirnya. Sebak memenuhi ruang dada. Hanya kepada-Nya tempat dia memohon pertolongan di saat hatinya resah dan berduka. Hatinya kembali tenang. Usai bertadabbur, bingkas bangun persiapkan diri untuk ke kelas. Dikalih pandangan pada temannya yang masih lagi berbungkus selimut.

“Masyitah..”

Jemarinya lembut menggerakkan tubuh temannya itu. Masyitah masih kaku. Lena dalam selimut yang menutupi tubuh temannya itu.

Masyitah masih tiada tanda-tanda untuk bangun. Nurjiha bersiap seringkasnya. Hari ini Nurjiha ada kelas dengan Professor Syed Lutfi, pensyarah yang mengajar subjek psikologi. Nurjiha tidak mahu datang lewat ke kelas Professor Syed Lutfi, pasti pintu kelas akan dikunci dari dalam oleh pensyarah yang terkenal dengan sikapnya yang tegas itu. Melirik melihat jam di meja. Masih ada 20 minit sebelum kelas bermula.

Nurjiha mengambil buku dan nota yang diperlukan untuk ke kelas. Tercari-cari buku nota birunya tetapi tiada. Teringat akan buku notanya yang dipinjam Masyitah.

“Mas, Nur ambil nota Nur ya..”

Dicapai beg sisi di penyangkut. Dikeluarkan segala barang yang ada di dalam beg sebelum memasukkan buku dan nota kuliah psikologi.

Tangannya terpaku pada alat yang dipegangnya. Cepat disembunyikan di dalam laci sebelum terlihat oleh Masyitah. Risau Masyitah terlihat alat yang dipegangnya itu. Dipandang sekilas pada temannya. Masih lena lagi.

Nurjiha mengambil rawak buku nota di meja Masyitah yang penuh dengan buku-buku nota kuliah yang tidak tersusun. Nurjiha mengunci lacinya sebelum bergegas keluar dari biliknya.

Usai kelas Professor Syed Lutfi, Nurjiha menapak ke perpustakaan fakulti. Mencari sudut yang terlindung untuk bersendiri. Esok, Professor Syed Lutfi mahu membuat ujian untuk subjek psikologi. Nurjiha mahu menggunakan ruang yang ada untuk menelaah pelajaran.

Buku berkulit tebal berwarna biru cair itu dibuka perlahan-lahan. Berkerut seribu dahinya membaca isi yang terkandung di dalam buku tersebut. Helaian demi helaian dibuka sehinggalah terhenti di pertengahan buku.

Matanya tertancap pada tulisan tangan berdakwat merah. Agak sukar untuk membaca tulisan tangan tersebut tetapi cuba difahami seboleh yang mungkin agar maksudnya tidak lari. Sambil membaca dan memahami butir isi buku tersebut, matanya tidak lepas dari memandang sekelilingnya.
***
 
Demam peperiksaan mula melanda pelajar-pelajar di kampus. Perpustakaan yang dulu kelihatan suram dan lengang kini penuh dengan para pelajar yang menelaah pelajaran mahupun berdiskusi. Nurjiha melangkah keluar daripada perpustakaan. Letih seharian menelaah pelajaran di perpustakaan.

Nurjiha berjalan pulang ke bilik. Letih mindanya seharian suntuk di tempat berhawa dingin mengingat fakta-fakta yang terkandung dalam nota pembelajaran. Gegaran di telefon bimbit memaksa Nurjiha berhenti. Dicapai telefon bimbit di beg sisinya.
Punat ditekan.

'Salam, Nur masih kat luar ke? Mas nak kirim panadol. Tq ya'

Mesej daripada Masyitah. Nurjiha mengubah haluannya ke sebuah gerai yang terdapat berdekatan dengan jalan pulangnya. Mahu membeli barang yang dikirim oleh Masyitah.

Temannya itu sentiasa kurang sihat sejak akhir-akhir ini. Apabila diajak berjumpa doktor, Masyitah mengelak. Hanya pening biasa, katanya. Beberapa kelas lewat kebelakangan ini tidak dihadiri lantaran kesihatan yang mengganggu temannya itu.

Nurjiha memasuki ruang kedai. Diambil sepapan panadol sebelum berlalu ke kaunter bayaran.

“Adik manis, hari-hari beli panadol, ada sakit ka?”

Nurjiha tersenyum cuma mendengar kata-kata jurujual berbangsa India di kaunter. Acap kali membeli panadol di kedai tersebut membuatkan mamak tersebut kenal dengannya.

“Kawan saya sakitlah uncle..”

“Ya ka. Sakit tarak baik bawak pergi hospital la..”

“Pergi hospital nanti panadol uncle tak laku..”

Mamak tergelak mendengar jawapan gurauan daripada Nurjiha. Usai membayar, Nurjiha keluar dari gerai untuk pulang. ‘Hari-hari beli panadol sampai mamak pun dah ingat muka aku ni’, Nurjiha tersenyum sendiri.

***

Shahreez masih lagi berdiri di sudut surau. Berkira-kira sebelum masuk. Orang ramai kelihatan mulai memenuhi ruang surau kolej. Alunan ayat suci Al-Quran berkumandang di legar surau.

Shahreez mahu melangkah keluar dari surau. Beberapa derap kakinya melangkah, bertembung dengan Luqman yang baru masuk. Luqman terpana, Shahreez cuba mengelak bertemu mata dengan Luqman.

“Hang kat sini rupanya. Awat tak masuk. Mai masuk. Sat lagi azan dah..”

Luqman memeluk bahu Shahreez sambil berjalan masuk ke dalam surau. Dalam keterpaksaan, Shahreez mengikuti langkah Luqman ke dalam surau. Azan maghrib berkumandang menandakan seruan Ilahi mengajak umat Islam mendirikan solat.

***BERSAMBUNG***

Tiada ulasan: